Oleh RIZQI ZABIDI
KEPUTUSAN kerajaan Persekutuan menaikkan tarif elektrik dalam sektor komersial dan industri baru-baru ini, dijangka akan mendatangkan kesan besar kepada ekonomi hingga membebankan rakyat.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keadaan itu disebabkan oleh peningkatan kos operasi dan pengeluaran barangan keperluan pengguna yang dianggarkan mencecah hingga 40 peratus.
Justeru katanya, semua pihak perlu sama-sama menghadapi mengambil langkah untuk berjimat-cermat bagi menghapai situasi sukar pada masa akan datang.
“Keputusan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini untuk menaikkan tarif elektrik (20sen/kw) dalam sektor komersil dan industri tentunya akan menaikkan kos operasi syarikat dan kos pengeluaran barangan keperluan pengguna yang dianggarkan mencecah sehingga 40%.
“Ini sudah tentu akan mendatangkan kesan besar kepada ekonomi yang akhirnya akan membebankan rakyat.
“Bagi menghadapi situasi sukar di masa depan, sama-samalah kita mengambil langkah berjimat-cermat, merancang perbelanjaan dengan bijak dan berdoa semoga Allah SWT mempermudahkan kehidupan kita dan melindungi kita daripada kemudaratan,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2023, hari ini.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 16 Disember lalu mengumumkan Pengguna elektrik bervoltan sederhana dan tinggi dalam kalangan industri termasuk perbadanan multinasional (MNC) akan dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj berkuat kuasa 1 Januari hingga 30 Jun 2023.
Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri pimpinannya telah mencuba sedaya-upaya yang termampu untuk membawa kehidupan lebih baik kepada 2.2 juta rakyat Kedah.
Dalam tempoh yang singkat pasca pandemik katanya, Kedah telah dipermudahkan oleh Allah SWT untuk menerima masuk pelaburan dari dalam dan luar negara dengan nilai yang amat luar biasa.
“RM68.3 bilion pada tahun 2021, dan RM9.7 bilion pada separuh pertama tahun 2022 dalam keadaan ekonomi global masih merangkak dalam fasa pemulihan, adalah sesuatu yang di luar jangkaan.
“Ini menggambarkan keyakinan komuniti pemodal terhadap pentadbiran negeri Kedah, dan bagi kita, ini penting untuk kelestarian ekonomi negeri dalam jangka panjang,” katanya.
Untuk tahun 2023 katanya, insya Allah rakyat di Kedah akan dapat menyaksikan lebih banyak perkembangan di negeri ini.
“Projek mega Kedah Aerotropolis yang antara komponennya termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) sudah pun ada pelabur baharu.
“Kedah Aerotropolis yang antara lain menempatkan Sidam Logistics, Aerospace & Manufacturing (SLAM) akan menjadi hab operasi MRO (Maintenance, Repair & Overhaul) industri penerbangan bagi seluruh rantau Asia Tenggara,” katanya.
Selain itu Muhammad Sanusi berkata, Projek Pembangunan Berintegrasi Bekalan Gas dan Loji Janakuasa serta hab Ship To Ship (STS) Transfer di Pulau Bunting, Yan yang nilai pembangunan keseluruhannya berjumlah kira-kira RM14 bilion dijangka akan dimulakan pada 2023.
“Projek ini kita yakin akan mampu melonjakkan ekonomi negeri Kedah secara drastik apabila siap kelak.
“Dalam masa sama, projek-projek pembangunan lain akan terus diberikan tumpuan khususnya di Kedah Science & Technology Park (KSTP) di Special Border Economic Zone Bukit Kayu Hitam serta Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap yang sedang menjadi perhatian komuniti pelabur dalam dan luar negara.
“Kawasan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) juga sedang diperluaskan bagi memenuhi permintaan pihak industri yang semakin meningkat. Selain itu, kita juga sedang mempersiapkan pembukaan sebuah kawasan perindustrian baharu, Gurun Industrial Smart Park (GISP) di Gurun,” katanya.
Tambahnya, kesemua usaha itu dilakukan bagi meningkatkan ekonomi rakyat Kedah khususnya menerusi peluang pekerjaan yang akan ditawarkan.
“Mudah-mudahan Allah SWT akan mengurniakan rezeki yang melimpah ruah bagi kita semua pada tahun baharu ini.
“Sama-samalah kita doa agar negeri ini akan terus diberkati dalam misi mencapai gagasan “Kedah Sejahtera dan Berdaya Huni” menjelang 2035,” katanya.
Leave a Reply