KETERUJAAN pasangan kembar seiras untuk kembali ke sekolah esok selepas bercuti panjang seakan terpadam apabila segala kelengkapan persekolahan mereka dihanyutkan banjir.
Pasangan itu, Nik Nurul Fatikha Nik Aziz, 12, dan Nik Nurul Fathira, dari Kampung La, Hulu Besut berkata, banjir yang melanda kampung berkenaan, kali ini turut merosakkan peralatan persekolahan sedia ada selain menyebabkan kediaman keluarga mereka ditenggelami air hingga rosak teruk.
Tambah menyedihkan Nik Nurul Fatikha memberitahu, banjir kali ini memaksa mereka sekeluarga menumpang lama di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Kampung La dan hanya dibenar pulang ke rumah pada pukul 10 pagi hari ini.
“Rumah kami rosak teruk akibat banjir, menyebabkan kami terpaksa tinggal lama di PPS walaupun banjir sudah surut.
“Pagi tadi kami dibenar pulang dan PPS ini ditutup. Esok sekolah pula akan dibuka dan sesi pembelajaran berjalan seperti biasa.
“Bagaimanapun, kami sudah kehilangan semua kelengkapan sekolah, bagaimana mahu meneruskan pembelajaran seperti sebelum ini,” katanya.
Nik Nurul Fatikha berkata, disebabkan banjir mereka pernah gagal menghadirkan diri pada hari pembukaan sekolah ketika kali pertama menjejakkan kaki di Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La di lima tahun lalu.
“Namun waktu itu kami bernasib baik, banjir tidak terlalu besar dan ibu saudara, Nik Azizah Nik Muhamad, 47, sempat menyimpan pakaian sekolah di bahagian bumbung rumah yang dijadikan stor ketika musim banjir,” katanya, lapor Berita Harian.
Sementara itu, Nik Azizah berkata, sejak mereka tinggal di kampung itu kira-kira 25 tahun lalu, banjir tahun ini paling besar sehingga menyebabkan rumah rosak dan perlu dibaiki sebelum dapat diduduki semula.
“Kami buntu memikirkan di mana mahu mencari wang untuk membaik pulih rumah sepenuhnya kerana hampir semua bahagian rumah perlu dibaiki termasuk bumbung, dinding serta lantai,” katanya.
Leave a Reply