PUSAT Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) sedang mempertimbangkan untuk mengambil sampel air kumbahan dari pesawat antarabangsa China bagi mengesan kemunculan varian baharu susulan peningkatan jangkitan kes COVID-19 di negara itu.
Lapor agensi berita Reuters, tiga pakar penyakit berjangkit berkata, dasar sedemikian berupaya menawarkan penyelesaian lebih baik untuk menjejaki virus itu sekali gus memperlahankan kemasukannya ke AS.
Ia dikatakan lebih berkesan berbanding sekatan perjalanan diumumkan AS minggu ini, yang turut dilaksanakan negara lain iaitu mewajibkan keputusan ujian saringan negatif bagi pengembara dari China.
Pakar penyakit berjangkit di Universiti Minnesota, Dr Michael Osterholm berkata, sekatan perjalanan seperti mewajibkan ujian saringan COVID-19 setakat ini gagal mengekang penyebaran wabak itu dengan ia dilihat sebagai alat politik.
“Ia kelihatan penting dari sudut politik. Saya fikir setiap kerajaan merasakan mereka akan dituduh tidak melakukan yang secukupnya untuk melindungi rakyat jika tidak melaksanakan tindakan sedemikian,” katanya, lapor Berita Harian.
Minggu ini, AS turut memperluaskan program sukarela iaitu penjujukan genom di lapangan terbang dengan menambah beberapa lokasi termasuk Seattle dan Los Angeles.
Secara keseluruhan, sebanyak tujuh lapangan terbang mengumpul maklumat untuk program berkenaan.
Bagaimanapun, kumpulan pakar berkata, ia mungkin tidak berupaya memberikan saiz sampel yang berkesan.
Pakar genomik dan Pengarah Institut Terjemahan Penyelidikan Scripps di La Jolla, California, Dr Eric Topol, berkata penyelesaian yang lebih baik ialah menguji air kumbahan daripada syarikat penerbangan.
Ia berupaya memberikan gambaran lebih jelas bagaimana virus itu bermutasi berikutan kekurangan data yang telus dari China.
Topol berkata, kaedah menguji air kumbahan dari pesawat China adalah taktik yang sangat baik.
Katanya, AS wajar meningkatkan kaedah pengawasannya kerana China tidak mahu berkongsi data genomiknya.
China sebelum ini berkata, kritikan terhadap statistik kes COVID-19 yang dikeluarkannya adalah tidak berasas dan melihat risiko varian baharunya adalah lebih kecil dengan menjangkakan mutasi terbaharu boleh berjangkit dengan lebih cepat tetapi tidak menyebabkan komplikasi yang teruk.
Namun, keraguan terhadap data rasmi China mendorong negara lain termasuk AS, Itali dan Jepun melaksanakan peraturan ujian baharu ke atas pelawat China apabila Beijing menarik balik kawalan perjalanan.
Dalam pada itu, jurucakap CDC, Kristen Nordlund dalam e-melnya berkata, analisis air kumbahan kapal terbang adalah antara beberapa pilihan yang sedang dipertimbangkan oleh agensi itu dalam usaha memperlahankan kemunculan varian baharu ke AS dari negara lain.
Agensi itu bergelut terutamanya berhubung ketelusan data COVID-19 dikeluarkan China selepas negara berkenaan secara tiba-tiba menarik balik perintah berkurung dan dasar ujian saringan COVID-19 yang ketat.
Ia menyebabkan virus itu berpotensi menjangkiti individu yang belum divaksinasi dan populasi yang kurang terdedah kepada wabak berkenaan sebelum ini.
“Pengawasan air kumbahan COVID-19 sebelum ini telah terbukti sebagai kaedah yang baik dan survelan air kumbahan pesawat boleh menjadi pilihan yang baik,” katanya.
Julai lalu, kumpulan penyelidik Perancis melaporkan bahawa ujian saringan COVID-19 bagi air kumbahan pesawat perlu menunjukkan hasil negatif memandangkan syarikat penerbangan antarabangsa tidak melindungi daripada penyebaran varian baharu.
Leave a Reply