TIGA wanita mengalami kerugian hampir RM1.7 juta selepas masing-masing menjadi mangsa sindiket Macau Scam mendakwa mereka terlibat dalam pengubahan wang haram, dalam kejadian baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Fisol Salleh berkata mangsa pertama seorang kerani di sebuah syarikat swasta yang tinggal di Bukit Mertajam membuat laporan polis pada 19 Dis lepas, memaklumkan dia kerugian RM1,026,200 ditipu sindiket tersebut sejak Julai lepas.
“Wanita itu mendakwa dia pada mulanya dihubungi suspek mengaku dari Pos Malaysia kononnya terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan atas namanya sebelum talian disambung kepada pegawai polis yang memaklumkan mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram.
“Mangsa yang panik dan takut ditahan polis mengikut semua arahan suspek sebelum membuat pemindahan wang secara berperingkat ke 13 akaun berbeza dan duit tersebut adalah merupakan wang insuran mendiang suami serta simpanannya,” katanya pada sidang akhbar di Georgetown, hari ini.
Beliau berkata mangsa kedua adalah seorang guru berusia 41 tahun yang tinggal di Seberang Perai Selatan (SPS) mengalami kerugian RM203,200 membuat laporan polis juga pada 19 Dis.
Fisol berkata wanita itu dihubungi sindiket tersebut sejak November lepas dan dia membuat pinjaman bank sebanyak RM190,000 serta duit simpanan untuk membayar kepada suspek kononnya bagi mengelak ditahan polis.
Mangsa terakhir yang juga guru berumur 47 tahun dan tinggal di Seberang Perai Utara membuat laporan polis pada 23 Dis selepas kerugian RM439,000 kerana ditipu sindiket Macau Scam yang menghubunginya pada 19 Sept.
“Mangsa turut membuat pinjaman bank sebanyak RM300,000 untuk membayar kepada sindiket itu dan dia membuat 15 transaksi ke lapan akaun berbeza membabitkan jumlah kerugian RM439,000,” katanya modus operandi sindiket yang menipu dua guru itu adalah sama dengan kes pertama.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket penipuan itu dan tiga kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Sejak Januari hingga semalam, polis Pulau Pinang merekodkan sebanyak 2,239 kes jenayah siber membabitkan kerugian RM79.5 juta dengan kes Macau Scam antara yang tertinggi direkodkan iaitu 921 kes dan sebanyak RM27.14 juta nilai kerugian,” katanya.
Leave a Reply