Oleh MOHD LAZIM ENDUT
DUA minggu telah berlalu, namun masih ada segelintir pihak yang masih cuba menjadikan isu Menteri Besar (MB) Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bercuti bersama keluarga di Auckland New Zealand ketika negeri ini sedang dilanda banjir sebagai propaganda politik murahan.
Walaupun isu berkenaan dikatakan telah pun terlerai, tetapi masih terdapat segelintir pihak lawan terus membangkitkannya tanpa belas kasihan.
Sebenarnya, kesediaan Ahmad Samsuri atau lebih mesra dengan panggilan Dr. Sam yang membuat permohonan maaf sekembalinya beliau ke tanah air sebelum ini telah pun meleraikan segala persepsi dan spekulasi dibuat pelbagai pihak.
Bagi ahli dan para penyokong Pas, isu ‘kehilangan’ Dr. Sam ketika Terengganu dilanda musibah banjir hanya ‘dipanaskan’ oleh para pemimpin pihak lawan yang lebih bersifat politik murahan.
Ia juga disifatkan sebagai senjata dan serangan awal politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun hadapan.
Mereka berpendapat isu berkenaan tidak seharusnya diperbesarkan kerana sebelum bertolak ke luar negara, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu sudah membuat pelbagai persiapan serta sempat mengunjungi beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Justeru ahli serta penyokong Pas Terengganu menganggap isu yang cuba dimainkan itu tidak akan menjadi ‘kudis gatal’ atau memberi kesan terhadap kepimpinan dan pemerintahan Pas di negeri ini.
Sebaliknya, sebaik isu berkenaan tercetus, tahap sokongan kepada Dr. Sam dikatakan semakin bertambah.
Ini terbukti menerusi laungan kata-kata semangat kebangkitan ‘Gelombang Hijau’ dilakukan oleh rata-rata ahli dan penyokong Pas di negeri ini menerusi media sosial seperti Facebook dan WashApp.
Selain itu mereka turut menyuarakan untuk terus berdiri teguh bersama MB kesayangan itu.
Pada 20 Disember lalu bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Ahmad Samsuri berada di New Zealand walaupun Terengganu sedang dilanda banjir.
Malah Lokman turut mendakwa dia mempunyai bukti mengenai Naib Presiden Pas itu sedang bercuti bersama keluarganya di Auckland, New Zealand pada 11 Disember dan dijangka pulang pada 22 Disember.
Isu itu mula tercetus setelah maklumat tiket kapal terbang bertarikh 11 Disember atas nama Ahmad Samsuri dan isterinya Datin Seri Tuan Faezah Tuan Ab Rahman menuju Auckland, New Zealand tular menerusi media sosial.
Susulan itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah Raja Ahmad pula mendakwa, beliau yakin Dr. Sam tidak akan memohon maaf di atas apa yang terjadi.
Bagaimanapun di sebalik kecaman pelbagai pihak, Dr. Sam yang pulang ke tanah air akhirnya hadir pada taklimat Pengurusan Banjir di Daerah Kemaman pada 23 Disember lalu.
Malah kesediaan beliau yang turut memohon maaf kepada semua mangsa banjir di negeri ini kerana tidak dapat bersama selama empat hari bermula 18 hingga 21 Disember sedikit sebanyak telah merungkai isu tersebut sekaligus menjawab segala tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.
Dr. Sam menjelaskan beliau ke luar negara atas urusan keluarga dan ketika ingin ke New Zealand, keadaan mangsa banjir semasa gelombang pertama telah menunjukkan penurunan.
Permohonan maaf itu dibuat menerusi rakaman video yang dimuat naik menerusi Facebook rasminya pada Jumaat lalu.
Leave a Reply