PENGERUSI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Perak, Mutalib Uthman yang juga pengasas bersama parti itu dipecat dan keahliannya digantung selama tiga tahun berkuatkuasa semalam.
Pemecatan penggiat buku Indie itu susulan tindakannya mengumumkan bertanding untuk Parlimen Tapah dalam pilihan raya umum lalu, ketika parti itu masih berunding kerusi pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi berkata, tindakan Mutalib itu melanggar perlembagaan parti yang menetapkan supaya anggotanya menghormati keputusan dan memelihara nama baik serta maruah parti.
Mutalib pada 20 Oktober lalu dalam hantaran Facebook mengumumkan akan bertanding di Tapah, kubu kuat BN yang disandang oleh Timbalan Presiden MIC M Saravanan selama tiga penggal.
Sebelum itu Naib Presiden PKR K Saraswathy dijangka bertanding di kerusi itu.
“Keputusan ini dibuat susulan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi mengenai status kerusi Tapah dan Sg Siput (Perak) serta Sembrong (Johor) adalah untuk kerjasama politik dengan Muda dan PSM,” katanya.
Muda bagaimanapun menafikan akan meletakkan calon di situ kerana ia kerusi PH.
Mutalib bagaimanapun kemudian mendapat kerusi parlimen Masjid Tanah, Melaka tetapi akhirnya kecundang di tangan tokoh Perikatan Nasional (PN) Mas Ermieyati Samsuddin yang telah berkhidmat dua penggal di situ.
‘Ada niat mahu sabotaj’
Sementara itu, Amir juga menuduh Mutalib “menunjukkan niat untuk melakukan sabotaj kepada parti” dengan menukar kata laluan akaun rasmi Muda Perak.
“Beliau juga, selepas dihubungi, menolak untuk menurunkan poster yang telah dinaikkan, dan hanya akan menurunkan sekiranya dijanjikan kerusi dalam pilihan raya,” dakwanya, lapor Malaysiakini.
Amir bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Mutalib yang telah bersama parti itu sejak hari pertama.
“Untuk itu, Muda mengucapkan ribuan terima kasih. Sebarang keputusan rayuan kepada keputusan JKEP (Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) ini, akan diputuskan usai rayuan diterima,” katanya.
Sementara itu, Mutalib dalam reaksi segeranya kepada Malaysiakini menyifatkan keputusan itu sebagai “keras”.
Bagaimanapun, katanya ringkas, “parti sudah pun bersuara”.
Leave a Reply