Tujuh tan dekorasi ayat al-Quran dibuang di tapak pelupusan haram

LONGGOKAN pelbagai dekorasi berasaskan ayat suci al-Quran ditemui di lokasi pembuangan sampah haram dekat Jalan P/AM 2 Kawasan Perindustrian Arab Malaysia, di Nilai, tengah hari tadi.

Ia ditemui penguat kuasa SW Corp yang sedang meronda di kawasan itu kira-kira pukul 12.15 tengah hari sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan polis.

Menurut Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah, berdasarkan pemerhatian awal ia disyaki dibuang peniaga perabot dari Kawasan Perindustrian Nilai 3.

“Daripada maklumat berkenaan, JHEAINS, SW Corp, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai bergegas ke lokasi dan mendapati pelbagai ayat suci al-Quran dibuang di kawasan ini.

“Ia seperti bingkai dan perhiasan yang tertulis ayat suci seperti nama Allah, Muhammad, empat Qul, ayat seribu dinar dan sebagainya. Ia bukan helaian kertas daripada kitab al-Quran,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini, lapor Berita Harian.

Mengulas lanjut Ahmad Zaki berkata, kesemua perhiasan itu dibawa menggunakan lori milik MBS dengan kerjasama semua agensi berkenaan dan akan dibawa ke Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Seremban untuk tindakan selanjutnya.

“Berdasarkan jumlah barang yang ditemui, jumlahnya boleh dimuatkan dalam lori tujuh tan. Kami yakin ia bukan perbuatan individu.

“Bagaimanapun, kami mungkin menghadapi masalah melupuskan ayat suci ini kerana material bukan diperbuat daripada kertas. Kami mungkin terpaksa mencari tempat pelupusan persendirian,” katanya.

Ahmad Zaki berkata, perbuatan itu sebenarnya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 50Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana mencela, menghina, dan sebagainya agama Islam.

“Ini bukan cara yang betul untuk melupuskan ayat suci al-Quran. Ia melambangkan kesucian dan kemuliaan agama Islam, malah perbuatan ini boleh menimbulkan rasa sakit hati umat Islam.

“Saya menyeru peniaga di sini supaya menghubungi pihak JHEAINS jika mahu melupuskan sebarang ayat suci al-Quran dan kami akan membantu mereka. Kami risau ia akan menjadi amalan jika tidak dibendung.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada MBS, SW Corp dan PDRM yang berganding bahu menyelesaikan kejadian ini kerana ia membabitkan bidang kuasa banyak pihak,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *