Subsidi RON95 ikut cc: Pengguna tak setuju, tak gambar kedudukan ekonomi

MEKANISME pemberian subsidi bersasar minyak RON95 menggunakan data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan melihat kepada kuasa kuda (cc) kenderaan tidak dipersetujui kebanyakan pengguna.

Menurut pengguna, cc kenderaan tidak menggambarkan keadaan sebenar ekonomi pengguna, lebih-lebih lagi banyak kenderaan mewah kini tampil dengan cc lebih kecil seperti jenama Mercedes dan Honda.

Pengguna, Muhammad Rizqi Manaf, 37, berkata tidak adil untuk menentukan pemberian subsidi minyak mengikut cc kereta kerana cc kereta tidak menggambarkan seseorang itu berpendapatan tinggi atau rendah.

“Lebih baik gunakan data lebih tepat seperti pendapatan pengguna bagi memastikan mereka golongan B40 atau M40, sekali gus layak atau tidak menerima subsidi RON95.

“Dengan cara ini juga, kita dapat elakkan berlaku ketirisan,” katanya.

Seorang lagi pengguna Mohamad Syafiq Adnan, 31, mencadangkan subsidi minyak RON95 dibuat menerusi MyKad.

“Macam mana nak tentukan orang itu layak menerima subsidi sedangkan kereta mahal pun ada yang cc kecil? Agak tidak praktikal nak menentukan menerusi cc kenderaan.

“Penyelesaian lain adalah dengan menggunakan MyKad. Melalui MyKad, subsidi hanya akan boleh diperoleh oleh warganegara Malaysia,” katanya.

Bagi Noraini Azman, 40, berkata, mekanisme penentuan menerusi cc kenderaan mungkin akan menindas golongan yang lebih memerlukan.

“Pemberian subsidi RON95 bersasar ini perlu dibuat secara lebih teliti kerana minyak kereta adalah keperluan asas untuk pengguna kenderaan. Kita tidak mahu subsidi ini jatuh ke tangan yang salah,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau bagaimanapun turut mencadangkan subsidi diberi kepada semua rakyat negara ini dan bukan hanya untuk golongan sasaran seiring status Malaysia sebagai negara pengeluar.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *