BEKALAN air di kawasan terjejas berikutan pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir pulih sepenuhnya.
Air Selangor dalam kenyataan pagi ini berkata bekalan air di lima wilayah terjejas itu pulih sepenuhnya jam 12 tengah malam tadi.
“Air Selangor ingin memaklumkan bahawa bekalan air bagi 472 kawasan di lima (5) wilayah Air Selangor telah pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam, 27 Disember 2022 (Selasa).
“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” menurut kenyataan agensi itu, hari ini.
Kawasan terbabit ialah daerah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54), Sepang (196), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (27).
Air Selangor dalam pada itu menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan air daripada pili mengalir sehingga jernih, sebelum digunakan untuk kegunaan harian.
Pada Sabtu, LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dihenti tugas akibat insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.
Pencemaran bau dipercayai berpunca daripada tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuhraya ELITE berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan lapor Astro Awani.
Leave a Reply