Banjir kali ini ibarat mimpi ngeri-mangsa banjir

BANJIR di Terengganu mengakibatkan kemusnahan tanaman dan peralatan pertanian petani di Kampung Durian Mentangau di Dungun.

Keadaan itu mengakibatkan mereka terpaksa menanggung kerugian besar apabila jentera pertanian ditenggelami air manakala hasil pertanian tidak sempat dituai.

Zaidi Ahmad, 55, menyifatkan banjir yang berlaku kali ini adalah pelik dengan kenaikan paras air luar biasa sejak dia memulakan projek tanaman padi di kawasan itu empat tahun lalu.

“Banjir kali ini ibarat mimpi ngeri apabila hampir 30 buah jentera pertaniannya ditenggelami air.

“Pada 18 Disember itu tiada tanda banjir walaupun paras air sungai sudah meningkat dan tidak melimpah ke kawasan pertanian. Kita jangka keadaan banjir mungkin lambat lagi jadi kita tidak naikkan semua jentera kita.

“Hanya jentera besar yang sempat kami selamatkan, tapi yang kita pakai setiap hari tak sempat. Banjir berlaku pada waktu malam. Pada pagi keesokan hari kita dapat selamatkan sebahagian sahaja, itu pun tenggelam juga,” katanya lapor Astro Awani.

Mohd. Nor Besar, 40, pula terpaksa berputih mata selepas tanaman cili fertigrasi serta peralatan pertaniannya musnah dibawa arus deras.

Menurutnya, bencana itu adalah pengalaman terburuk sejak dia mengusahakan projek pertanian di kawasan berkenaan 15 tahun lalu.

“Sebenarnya kejadian ini adalah kejadian kedua, yang pertama berlaku pada tahun 2014 dan sekarang tahun 2022.

“Air terlalu cepat naik. Satu hari boleh naik dalam 5 kaki (1.5 meter) air. Sedih itu, sedih tapi apa boleh buat?

“Kebimbangan Itu ada, Tapi kita teruskan juga sebagai petani. Tahun ni kadar hujan itu terlalu banyak, daripada bulan 10, bulan 11 dan bulan 12 ini paling banyak sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Zaidi dan Mohd Nor berharap pihak berwajib prihatin dengan nasib mereka dan menyalurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung.

Banjir besar yang melanda Terengganu baru-baru ini menyaksikan pelbagai kemusnahan harta benda dan kediaman mangsa di seluruh negeri itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *