TANGGAL tarikh ini 18 tahun lalu, tsunami melanda rantau Asia Tenggara termasuk negara ini, insiden meragut ratusan ribu nyawa yang tetap segar dalam ingatan penduduk khasnya Kampung Kota, Kuala Muda Kedah.
Malah, kesan bencana alam pada tanggal 26 Dis 2004 itu juga masih jelas kelihatan sehingga sekarang.
Astro AWANI menerusi tinjauan di lokasi kejadian mendapati, tragedi yang berlaku susulan gempa bumi di Lautan Hindi-Barat Laut Sumatera itu membawa banyak perubahan terhadap penempatan dan corak kehidupan penduduk setempat.
Kebanyakan penduduk yang menjadi mangsa tsunami kini mendirikan rumah jauh dari pesisir pantai, sementara ada segelintir tidak mahu berpindah dan masih tinggal di tapak asal.
Selain arca timbunan bot yang dibina di simpang laluan utama ke kawasan itu, deretan rumah yang musnah akibat ombak tsunami, dikelilingi pagar dibina khas pihak berkuasa tempatan, kini dijadikan Muzium Tsunami.
Salah seorang mangsa tragedi, Idris Husin, berkata rumahnya yang terletak berhampiran pantai juga tidak terlepas daripada dibadai ombak tsunami, namun dia bersyukur kerana isteri serta anak-anaknya terselamat serta rumahnya tidak musnah sepenuhnya.
Menyingkap kembali hari kejadian, warga emas berusia 68 tahun itu berkata, ketika itu beliau bersama isteri dan anaknya sedang berkelah di pesisiran pantai.
TIDAK SEMPAT HABISKAN AZAN
Dia yang bertugas sebagai bilal masjid itu berkata, sebelum gulungan ombak setinggi 3.9 meter membadai daratan dia terlihat kejadian pelik apabila air surut sehingga menampakkan pasir laut sejauh satu kilometer.
Merasakan sesuatu yang tidak baik akan berlaku, dia yang membahasakan diri sebagai Pak Ngah melaungkan azan. Namun, tidak sempat menghabiskannya, gulungan ombak itu terus membadai tempat dia berdiri.
“Pak Ngah sampai sahaja di tepi pantai, nampak air laut makin surut dan jadi kering. Saya nampak gumpulan air tinggi di tengah laut, sehinggakan rumah api yang ada di tengah sudah ditenggelami gulungan ombak.
“Dalam masa sama, isteri dan anak Pak Ngah ajak makan. Tetapi, saya kata, kena lari selamatkan diri. Saya laungkan azan, selepas itu saya terus tarik tangan isteri dan anak saya, terus lari selamatkan diri,” katanya.
Turut berkongsi pengalaman mengerikan, Che Man Ahmad, 64 tahun, yang ketika itu baru selesai menghadiri majlis perkahwinan di kampung itu.
PANJAT POKOK MANGGA
Menurutnya, selepas hentaman pertama ombak setinggi pokok kelapa, datang pula gelombang kedua dan kali ini dia sempat memanjat pokok mangga untuk menyelamatkan diri.
“Saya tengok tidak lama selepas itu, gulungan ombak setinggi tiga meter dari tengah laut, datang dengan cepat hendak sampai ke hutan paya nipah di hadapan saya.
“Ketika itu, semua tetamu dalam majlis kenduri sedang bersembang. Saya terus jerit dan lari panjat pokok mangga. Tidak lama selepas itu, ombak datang lalu menghentam seluruh rumah,” kata Che Man.
Walaupun ia telah lama berlalu, namun kesan trauma susulan insiden itu masih menghantui mereka.
Kejadian itu membuatkan Idris lebih bersedia dan bertindak meletakkan dokumen peribadi seperti surat beranak, geran tanah, sijil-sijil dan barangan penting lain di dalam satu beg.
Katanya, sekiranya berlaku tsunami lagi dia akan membawa beg itu bersama, tidak seperti kejadian sebelum ini apabila segalanya musnah dibawa ombak deras.
“Saya beritahu Mak Ngah, siapkanlah satu beg untuk simpan segala dokumen yang penting. Apabila berlaku apa-apa masalah, kita boleh bawa sekali dengan kita,” tambahnya.
Disebabkan kedudukan geografi kawasan berkenaan yang berdekatan dengan bahagian Barat Sumatera, iaitu kawasan aktif berlaku gempa bumi dan berisiko berlaku tsunami, stesen seismologi yang menempatkan dua siren amaran tsunami kini dipasang.
Pemasangan siren kecemasan itu memberi sedikit kelegaan kepada penduduk, sekiranya berlaku gempa mereka sempat menyelamatkan diri.
Kini, penduduk sekitar kawasan ini sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
Tsunami yang membadai beberapa negara pada 2004 turut menyebabkan Kedah terkena tempias tsunami dengan 10 kematian di Kota Kuala Muda dan satu di Langkawi.
Risiko tsunami sentiasa wujud kerana kawasan di utara dan barat Sumatera merupakan kawasan aktif, disebabkan oleh pertembungan antara dua plat tektonik yang boleh menyebabkan kejadian gempa.
Leave a Reply