KEBOCORAN pada ‘hose break trek’ mengakibatkan perkhidmatan kereta api funikular Bukit Bendera, Air Itam, di Georgetown, tergendala hampir tiga jam, semalam.
Menurut Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), masalah itu dikenal pasti pasukan penyelenggaraan PBBPP yang melakukan pemeriksaan selepas perkhidmatan pengangkutan itu tergendala kira-kira pukul 4 petang.
“Bagaimanapun, perkhidmatan kereta api funikular itu kembali beroperasi semula pada 6.45 petang,” katanya menerusi hantaran di akaun rasmi Facebooknya, semalam.
Mengulas lanjut PBBPP berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk polis yang membantu menangani situasi kecemasan berkenaan.
Pihaknya turut berterima kasih kepada pengunjung atas kesabaran mereka.
“Kami kesal dengan kejadian itu dan memohon maaf atas segala kesulitan,” katanya lagi, lapor Harian Metro.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai rungutan penumpang yang mendakwa terkandas antara tiga hingga enam jam bagi menaiki kereta api funikular berkenaan.
Pengunjung dari Perlis, Rohaida Izaham, 40, berkata, keadaan itu dialaminya ketika dia bersama lima ahli keluarganya hendak turun dari bukit berkenaan.
“Kami faham lokasi itu mempunyai ramai pengunjung berikutan cuti Hari Natal, semalam, tetapi difahamkan juga kejadian seumpamanya kerap berlaku sebelum ini.
“Jadi, pihak berkenaan perlu lakukan sesuatu bagi menanganinya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Leave a Reply