PENYAMPAI berita dan pengacara jelita, Hawa Rizwana berharap penonton dapat memberi sedikit masa untuk mendapat keserasian dengan tugasan dan dunia baru yang diceburinya kini.
Sejak beralih tugas mengemudi program hiburan, MeleTOP, awal bulan lalu, Hawa, 27, kerap terpalit dengan kecaman terutama membabitkan imej dan penyampaiannya yang dianggap tidak mencapai standard.
Gaya penyampaian gadis kelahiran Illinois, Amerika Syarikat (AS) itu juga sering dibandingkan dengan Neelofa yang berjaya menambat hati penonton tahun demi tahun.
Bekas pengacara program bual bicara, Wanita Hari Ini dan Hello Doktor di TV3 itu berkata, setiap teguran akan diterima secara positif demi berusaha menjadi lebih baik.
“Orang ramai perlu faham saya bermula sebagai pembaca berita, mengacarakan program berbentuk isu semasa dan program kewanitaan.
“Lima tahun saya dalam dunia berita, hanya baru-baru ini diberi peluang mengacarakan program hiburan. Jadi, saya masih baru dalam dan perlu belajar banyak perkara.
“Saya juga masih dalam fasa membiasakan diri dengan suasana baru. Ia tentunya mengambil masa untuk belajar, selain mencari pengalaman.
“Saya terbuka menerima teguran atau nasihat yang membina. Tentunya, saya berharap dapat menjadi pengacara lebih baik pada masa akan datang.
“Jadi, berilah saya peluang membentuk diri dalam dunia hiburan secara semula jadi,” katanya kepada BH Online.
Saat berdepan kritikan, Hawa berkata, dia tetap optimis dalam meneruskan kerjaya pengacaraan biarpun diselubungi dengan perasaan sedih.
“Bohonglah tidak sedih apabila ada orang anggap saya tidak cukup bagus. Saya akui masih belum dapat membuang tanggapan negatif orang, tetapi saya percaya inilah rezeki dikurniakan Allah.
“Saya tahu tahap saya setakat mana dan banyak kekurangan. Akan tetapi, selagi niat saya mahu terus belajar dan bekerja mencari rezeki, ia sudah memadai.
“Itu juga antara cara saya memujuk diri. Sebab apa yang saya buat adalah untuk mencari rezeki untuk keluarga juga.
“Jadi, katalah apa sahaja, saya terima secara positif,” katanya.
Sebagai usaha memperbaiki kelemahan, Hawa atau nama sebenarnya, Hawa Rizwana Ahmad Rezuan berkata, menjadikan pasangan pengacaranya, Nabil Ahmad sebagai sumber rujukan dan inspirasi.
“Disebabkan berpasangan dengan Nabil, jadi saya banyak tonton video lama ketika mengacarakan beberapa program.
“Saya juga banyak belajar mengenai program hiburan. Dalam masa yang sama, ramai rakan sentiasa memberikan tunjuk ajar. Daripada rakan saya belajar selok-belok dunia hiburan,” katanya.
Lumrah bergelar selebriti pastinya nama terpalit dengan pelbagai kontroversi. Begitu juga Hawa menerima tempias sama sehingga mengundang perasaan kurang senang dalam kalangan pengikutnya.
Namun, Hawa menyifatkan ia adalah onak duri yang perlu dilalui sekiranya mahu terus bertapak dalam dunia glamor.
“Apa sahaja yang saya lakukan tiada niat untuk menyakiti hati sesiapa. Bila kena tegur, saya akan lebih berhati-hati dalam apa juga tindakan.
“Komen negatif tidak dapat dielakkan. Ada yang cakap jangan hiraukan, tetapi kalau ia mampu membuat saya menjadi lebih baik, kenapa tidak ikut?” katanya yang berharap dapat membahagiakan orang sekeliling, selain mahu mencuba pelbagai cabang baharu sempena 2023.
Hawa adalah graduan Ijazah Sarjana Komunikasi Massa itu memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.78 pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-95, baru-baru ini.
Leave a Reply