UMNO dianggap tidak demokratik sekiranya tunduk kepada usaha pihak tertentu menghalang jawatan dalam parti dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang, kata Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz.
Katanya, langkah seperti itu menyekat amalan demokrasi yang sudah lama subur dalam UMNO selain menyatakan sebarang cadangan ke arah itu sebagai “lapuk”, sekali gus menunjukkan UMNO semakin hilang arah dan identiti perjuangan.
“Ia juga bakal menjadi satu lagi episod hitam UMNO selepas prestasi buruk pada PRU15 lalu,” lapor Utusan Malaysia.
Nazri berkata, cadangan dua jawatan itu tidak dipertandingkan, merujuk presiden dan timbalan presiden yang masing-masing disandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan, seolah-olah memperkecilkan keupayaan mereka.
Beliau berkata, kedua-dua pemimpin itu terbukti mampu menang pada pemilihan parti, pada 2018, sekali pun tidak ada jawatan dalam kerajaan.
“Masa jadi pembangkang boleh ada pertandingan, bila dah jadi kerajaan tidak mahu ada pertandingan, tidak cerdik sangat cadangan ini? Mereka ini semua anggap Zahid macam tidak ada maruah.
“Kena ingat, Zahid adalah orang yang membenarkan jawatan presiden dipertandingkan pada 2018, beliau berani dan kerana keberanian itu beliau menang sebab ahli-ahli Umno mahu amalan demokrasi dalam parti subur,” katanya.
Beliau ketika mengulas lanjut, berkata semua boleh terima jika sebelum ini parti tidak mahu ada pemilihan kerana mahu fokus PRU15 dan tidak mahu ada perpecahan dalam parti.
Beliau mempersoalkan bilakah mahu diadakan pemilihan sekiranya selepas PRU15 masih tidak mahu berbuat demikian.
“Bila boleh? Nak tunggu selepas PRU16? Takut nanti selepas PRU16, Umno sudah tidak ada lagi,” katanya.
Nazri berkata, jika benar mahu mengelak perpecahan dalam parti, semua jawatan di cawangan dan bahagian juga tidak dipertandingkan.
“Sebenarnya mereka yang mencadangkan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan ini bukan nak jaga perpaduan dalam Umno, tetapi menjaga kepentingan peribadi sebab dalam PRU15 lalu mereka ini telah menjadi calon tetapi kalah teruk.
“Mereka ini bimbang kalau berlaku pertukaran pemimpin nama mereka tidak lagi dicalonkan pada PRU16,” katanya.
Leave a Reply