MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli didakwa belum mengemukakan sebarang penyelesaian baharu dan konkrit mengenai masalah kenaikan harga makanan di negara ini.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, pada sidang medianya baru-baru ini, Rafizi juga tidak menyatakan faktor sebenar yang menyumbang kepada masalah itu, sama ada ketiadaan bekalan, kenaikan kos atau peningkatan permintaan.
Menurutnya, Rafizi juga tidak menyentuh secara keseluruhan mengenai langkah drastik bagi mengurangkan kadar inflasi subsektor makanan dan minuman bukan alkohol yang konsisten, yang mencecah 7.3 peratus pada bulan lalu, yang menjadi bahagian besar atau 30 peratus daripada perbelanjaan isi rumah.
“Harga barang makanan tidak rasional dan memerlukan intervensi serta penguatkuasaan lebih kuat oleh kerajaan. Bukan hanya menyuruh rakyat kurang makan ayam!
“Mekanisme subsidi bersasar dinyatakan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada hari pertama pentadbirannya tetapi belum dilaksanakan. Rafizi hanya mengulang perkara sama,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini, lapor Berta Harian.
Kelmarin, Rafizi pada sidang medinya, berkata pengguna perlu berperanan menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal, termasuk dengan tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal, berbanding sebelum ini.
Katanya, jika pengguna tidak membeli atau menggunakan produk yang menawarkan harga yang tidak berpatutan, ia akan memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.
Ia termasuk bagi makanan dan minuman bukan alkohol serta ayam.
Mengulas lanjut, Khairil Nizam, yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, dalam isu kenaikan harga telur dan ayam, ia kemungkinan disebabkan pihak penternak yang berdepan masalah kenaikan kos pengeluaran dan aliran modal atau monopoli dan manipulasi bekalan, yang tidak disentuh Rafizi.
“Langkah mengimport telur tidak menyelesaikan masalah tuntas. Menurut Pengarah Urusan Mydin (Datuk Ameer Ali Mydin), harga telur import gred C (50 sen sebiji) lebih mahal daripada telur gred A tempatan (45 sen sebiji), malah ia melangkaui harga siling ditetapkan kerajaan.
“Isu bekalan telur mungkin selesai tetapi masalah utama kenaikan harga yang ditanggung rakyat dan menangani isu monopoli tetap tidak terjawab!” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan, import telur sudah bermula sejak 15 Disember lalu dengan permulaan kemasukan sebanyak 100,000 biji telur, sebagai langkah kerajaan untuk menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan, selain bagi tujuan mengawal harganya.
Leave a Reply