SEORANG pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terkejut apabila sebuah al-Quran yang diletakkan di dalam almari di rumahnya tidak basah walaupun ditenggelami banjir.
Lagi membuatkan Zahaitun Mahani Zakariah, 54, sebak ialah al-Quran yang sering dibaca beliau itu sedikitpun tidak rosak malah ia kering sebagaimana sebelum banjir melanda kediamannya sejak Selasa minggu lalu.
Menurut Pensyarah Marin Biologi yang menetap di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, Kuala Nerus itu, beliau menyedari naskhah al-Quran itu tidak basah selepas pulang untuk membersihkan rumahnya pagi tadi selepas keadaan banjir pulih sepenuhnya.
“Kira-kira 9.30 pagi tadi saya pulang untuk mengemas dan membersih rumah selepas banjir di luar rumah melebihi paras pinggang manakala di dalam rumah setinggi 0.5 meter (m).
“Sebaik saya buka almari yang menempatkan beberapa naskhah al-Quran, saya mengeluarkan semuanya untuk dijemur kerana saya jangkakan semuanya basah.
“Bagaimanapun saya terkejut dan menangis selepas sebuah naskhah al-Quran sedikitpun tidak basah, malah berada dalam keadaan baik tanpa sedikitpun lumpur.
“Manakala lima lagi naskhah al-Quran yang lain semuanya basah dan ada yang rosak kerana ditenggelami banjir, begitu juga almari yang saya letakkan al-Quran juga mengalami kerosakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini, lapor Harian Metro.
Mengulas lanjut, pensyarah berasal dari Raub, Pahang itu yang digelar ‘ulat buku’ oleh rakan-rakannya berkata, pengalaman itu adalah yang pertama dalam hidupnya dan tidak menyangka berlaku di depan matanya sendiri.
“Saya bersyukur kerana dipilih oleh Allah melihat al-Quran tidak basah walaupun tenggelam, ini kekuasaan Allah, lagipun al-Quran ini sentiasa saya baca dan menjadi peneman hidup kerana saya tinggal seorang diri di rumah ini.
“al-Quran ini saya beli pada 2011 di Madinah ketika menunaikan ibadah haji bersama ibu, dengan ujian ini menambah kekuatan kepada saya untuk lebih mendekatkan lagi dengan Allah,” katanya.
Sementara itu rakannya, Pegawai Penyelidik UMT, Siti Tafzil Meriam Sheikh Abdul Kadir, 43, yang turut bersama Marina membersihkan rumah akui terkejut dan menangis selepas melihat naskhah al-Quran dalam keadaan baik.
“Situasi ini bagaikan mimpi, bagaimanapun ianya rezeki buat saya selepas membantu rakan membersih dan mengemas rumah,” katanya akui banyak buku rakannya itu rosak dan basah kerana ditenggelami banjir.
Leave a Reply