Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR diteruskan untuk pembersihan, siasatan

MISI mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali di Hulu Selangor, akan diteruskan untuk pembersihan serta siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, meskipun mangsa korban terakhir membabitkan kanak-kanak lelaki sudah ditemui namun operasi tetap diteruskan esok.

“Operasi SAR masih kita teruskan bagi melaksanakan tindakan ‘flushing’ (pembersihan) dan siasatan di tempat kejadian.

“Sekiranya tiada halangan atau perkembangan baharu SAR, kita jangkakan sehingga esok dan kita akan beri keputusan (lanjut atau tamat),” katanya dalam sidang media di lokasi hari ini, lapor Harian Metro.

Turut sama dalam sidang media, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail.

Sementara itu, Suffian menzahirkan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit sepanjang sembilan hari operasi SAR iaitu JBPM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

“Saya sebagai Komander Operasi juga mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak henti mendoakan agar proses pencarian semua mangsa terbabit,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *