Banjir: Pesakit asma kronik ditemukan lemas dekat rumah

SEORANG lelaki dari Kampung Chenerai, Alor Pasir dekat Pasir Mas yang dilaporkan hilang sejak kelmarin ditemui lemas di sekitar rumahnya pagi ini.

Mangsa, Allahyarham Mohd Razawi Ahmed, 45, ditemukan pukul 10.45 pagi tadi selepas kehilangannya dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

Saudara kepada Mohd Razawi, Wan Habsah Wan Yusof, 53, berkata, Allahyarham hilang sejak kelmarin selepas jiran melihatnya turun meredah air setinggi 0.4 meter pada 5 petang dan tidak muncul sehingga pukul 8 malam.

Katanya, dia dimaklumkan arwah turun untuk mengangkat kayu daripada dibawa arus banjir di bawah rumahnya sebelum dia hilang.

“Arwah tinggal seorang diri di rumah berkenaan. Selepas dia hilang, paras banjir di kawasan rumahnya juga semakin bertambah hampir satu meter menyebabkan kami sukar untuk mencarinya.

“Kemudian, kehilangan Mohd Razawi dilaporkan kepada polis sebelum mereka mengesyaki bahawa dia lemas. Beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kemudian menjalankan operasi mencari mangsa sejak semalam.

“Saya terkejut apabila pagi ini menerima khabar dia ditemui lemas di sekitar rumahnya namun bersyukur jasadnya ditemui walaupun sudah tidak bernyawa,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.

Wan Habsah berkata, mangsa juga mempunyai penyakit asma kronik dan mungkin jatuh ke air selepas penat mengangkat kayu di bawah rumahnya.

Menurutnya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Siram, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM) untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

“Penduduk terjejas banjir dinasihatkan agar berhati-hati supaya tidak berlaku sebarang insiden tidak diingini sehingga meragut nyawa

“Polis bersiap siaga selama 24 jam untuk membantu mangsa banjir yang memerlukan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *