SERAMAI 141 pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terjejas dengan banjir di seluruh negara, setakat ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata bilangan itu membabitkan mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan kediaman dinaiki air.
“Kita akan pastikan kebajikan mereka terjaga dan sedikit sumbangan akan diberi bagi meringankan beban mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Kelantan Zainal Madasin.
Akmal Nasrullah berkata insentif atau bantuan perlu diberikan kepada pegawai dan anggota yang terlibat kerana mereka tetap komited menjalankan tugas walaupun ditimpa musibah.
“Kita akan tambah anggota sekiranya diperlukan untuk banjir kali ini. Kelantan telah menerima bantuan daripada anggota kawasan berhampiran yang tidak terkesan banjir,” katanya.
Beliau berkata JBPM turut mengoperasikan dua helikopter di Bachok dekat sini dan Wakaf Tapai, Terengganu bagi menyelamat mangsa banjir.
“Penyediaan helikopter adalah sebagai bantuan bagi membawa pesakit dari kawasan terkepung ke hospital dan membawa makanan ke kawasan yang tidak dapat dilalui seperti perkampungan Orang Asli,” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply