SEORANG lelaki yang terlantar akibat kemalangan sembilan tahun lalu terpaksa berehat di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating di Kuantan selepas selesai menerima rawatan di Hospital Kemaman akibat sesak nafas, dua hari lalu.

Abdul Rani Yusuf, 55, yang sudah hampir seminggu berada di hospital tidak dapat dibawa pulang kerana rumahnya di Kampung Pengkalan Bata, Cherating dinaiki air.

Menurut Ibunya, Yah Ismail, 77, selepas keluar wad, anak ketiganya itu terus dibawa ke pusat pemindahan tersebut.

“Sepanjang berada di sini sejak dua hari lalu, saya yang menjaga Abdul Rani selain dibantu anak-anak dan ahli keluarga yang tinggal berdekatan.

“Dia perlu penjagaan sepenuhnya kerana tidak mampu menguruskan diri sendiri, adik-beradiknya yang lain atau anak saudara akan datang bantu.

“Allhamdulillah saya masih sihat walaupun ada penyakit kencing manis dan darah tinggi jadi dapatlah saya jaga dia di sini,” katanya yang tinggal berdua bersama anaknya itu sebelum berpindah ke PPS berkenaan.

Yah berkata,, anak lelakinya itu terbabit kemalangan sembilan tahun lalu selepas motosikal diboncengnya dilanggar kenderaan lain dari arah belakang.

Akibat kemalangan itu katanya, Abdul Rani koma selama tiga bulan.

“Ekoran kecederaan saraf dialami, kehidupannya berubah dan terlantar sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui di PPS SK Cherating di Kuantan hari ini.

Yah berkata, walaupun berada di pusat pemindahan, dia dan anaknya berada dalam keadaan baik.

“Cuma dia (Abdul Rani) kurang berselera makan mungkin kurang selesa berada di sini lebih-lebih lagi baru keluar hospital.

“Kalau boleh memang hendak segera pulang tapi rumah belum sempat dibersihkan lagi, saya tunggu dan lihat dahululah.

“Kalau dibenarkan pulang, baru kami pulang,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Kata Yah lagi, dia berpindah ke pusat pemindahan itu untuk kali kedua selepas kali pertama pada 2013.

“Kali ini banjir agak teruk apabila air di dalam rumah naik hampir paras lutut.

“Bimbang air makin tinggi, anak-anak bawa saya berpindah ke sini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here