DENGAN hanya berbekalkan 69 tong plastik dan 54 keping papan fascia, ia menjadi sebuah rumah bersaiz 70 kaki persegi dan setinggi 5.8 meter serta mampu terapung daripada dilanda banjir besar di Kampung Terbak Batu 16, Chukai.
Pemilik rumah, A Bakar Che Ahmad yang lebih dikenali sebagai Pokwe, 67, berkata, hasil sentuhan kreatif seni bina rumah terapung itu diinspirasikan daripada ‘reban ayam terapung’ yang dibinanya pada 2019.
Pokwe yang juga bekas pembuat alatan tajam berkata ini kali pertama kediamannya yang siap dibina pada 16 September lalu dan dinamakan ‘Rumahku, Rakitku’ berjaya diapungkan sekali gus menyelamatkannya sekeluarga daripada banjir.
“Rumah ini mengambil masa dalam tiga bulan lebih (untuk dibina)… rumah ini mempunyai lima bilik tidur dan dua bilik air, manakala ia juga boleh menampung seberat 15 tan metrik,” katanya kepada Bernama di kediamannya, hari ini.
Pokwe berkata, rumah itu dibina hasil titik peluh ahli keluarganya yang terdiri daripada tujuh anak serta menantunya.
Beliau berkata, sebelum rumah itu siap dibina, beliau sering terkesan dengan banjir di kawasan terbabit sejak tujuh tahun lepas.
“Saya sudah duduk di sini selama tujuh tahun, hanya satu tahun sahaja pada 2016 rumah kami tidak ditenggelami banjir.
“Sebelum ini, saya tidak berpindah ke PPS (pusat pemindahan sementara), saya hanya duduk di rumah saya yang lain… ia tidak jauh dari sini,” katanya.
Sementara itu, Pokwe hampir tidak percaya bahawa satu hantaran video mengenai rumahnya yang dirakam oleh seorang anaknya menerusi aplikasi TikTok meraih perhatian netizen di media sosial.
“Saya sangat gembira kerana ada yang memberi komen positif terhadap video tersebut, saya suka berkongsi kepada orang ramai supaya mereka juga turut mendapat idea untuk menyelamatkan rumah mereka.
“Saya juga sudi untuk tunjuk bagaimana kaedah pembuatan rumah ini tetapi saya buat ini lebih kurang sahaja. Kalau mereka (orang ramai) ingin buat lagi kukuh… saya boleh ajarkan,” katanya.
Leave a Reply