SKMM larang video mangsa renjatan elektrik ditularkan

ORANG ramai khususnya warganet dinasihatkan agar berhenti menularkan video tiga beradik yang maut akibat terkena renjatan elektrik.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini berkata, hal itu perlu dilakukan bagi bagi menghormati mangsa dan privasi keluarga mangsa yang terkesan akibat kejadian tersebut.

Selain itu, MCMC memaklumkan pihak berkuasa juga perlu diberi ruang untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap insiden berkenaan.

“Dalam masa yang sama, pihak Suruhanjaya juga telah mengambil langkah proaktif mengangkat perkara ini untuk perhatian dan tindakan selanjutnya daripada penyedia platform seperti Meta, Twitter dan TikTok dalam usaha mengekang penularan video yang berkaitan,” katanya.

Mengulas lanjut, MCMC berkata, orang awam digalakkan untuk sentiasa mengawal selia kendiri dan peka tentang kandungan yang mereka terima atau di kongsi secara dalam talian, sama ada melalui aplikasi Whatsapp ataupun rakaman video di media sosial.

Jelas MCMC, pengguna media sosial juga digalakkan untuk membuat laporan secara terus terhadap kandungan yang sensitif dan tidak sesuai untuk tatapan umum kepada penyedia platform.

“Langkah ini penting bagi menghentikan penularan video seperti tersebut,” kata MCMC, lapor Utusan TV.

Terdahulu, tiga beradik perempuan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di luar rumah jiran mereka yang dilanda banjir di Kampung Bendang Surau dekat Morak, di Tumpat, semalam.

Kesemua mangsa berusia di antara 20 hingga 33 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian itu, kira-kira 11.45 pagi.

Difahamkan, seorang daripada mangsa terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang rumah jiran, sebelum terkena pula kepada dua adiknya turut berada di hadapan rumah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *