Oleh ABU UBAIDIILAH RAHMAN
POLIS menahan tujuh lelaki dan wanita termasuk seorang penjawat awam selepas terlibat dengan sindiket penyeludupan dadah dalam penjara selepas melakukan lima serbuan berasingan sekitar Johor Bahru pada 15 Disember lalu.
Kegiatan sindiket berkenaan terbongkar selepas pemeriksaan dilakuakan terhadap seorang banduan lelaki di mahkamah Johor Bahru.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sepasukan anggota dari polis cawangan mahkamah di Johor Bahru menjalankan pemeriksaan terhadap banduan berkenaan pada pukul 10.30 pagi.
“Menerusi pemeriksaan terhadap orang kena tahan (OKT) reman Penjara Koreksional Ulu Choh yang selesai menjalani perbicaraan di mahkamah Johor Bahru, menemukan sembilan biji balutan mampat dalam bentuk ‘barrel’ berisi dadah yang disembunyikan dalam seluar dalam OKT.
“OKT tersebut juga menelan sejumlah dadah berbentuk ‘barrel’ dalam badannya semasa di Kompleks Mahkamah Johor Bahru,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.
Katanya, dadah berkenaan dipercayai diberikan suspek semasa OKT di mahkamah dengan mengambil kesempatan ketika turun dan sebelum menaiki van atau lori polis untuk dihantar semula ke penjara.
Menurutnya, selepas itu OKT berkenaan dibawa ke hospital sebelum dibedah dan berjaya mengeluarkan enam biji balutan mampat dalam bentuk ‘barrel’ berisi dadah dari dalam perutnya.
Susulan itu katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan membuat lima serbuan berasingan dan menahan enam individu.
Beliau memberitahu, mereka yang ditahan merupakan tiga lelaki tempatan termasuk penjawat awam terbabit dan tiga wanita tempatan berusia antara 25 hingga 37 tahun.
Katanya, menerusi serbuan itu pihak polis merampas ganja seberat 44.74 gram dan bernilai RM12,237 serta syabu seberat 28.84 gram bernilai RM12,884 manakala keseluruhan dadah itu bernilai RM3,800.
Jelasnya, hasil saringan air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
“OKT berkenaan pula mempunyai kes berkaitan dadah. Modus operandi mereka adalah dengan menelan dadah dalam bentuk ‘barrel’ dan dadah itu akan dibawa masuk ke penjara setelah selesai perbicaraan di mahkamah untuk diedarkan.
“Kita masih menyiasat sudah berapa lama sindiket ini beroperasi termasuk sama ada masih ada saki baki ahli sindiket ini. Semua suspek direman enam hari bermula 15 hingga 20 Disember untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Leave a Reply