Oleh RIZQI ZABIDI
SELAIN berdepan dengan angin kencang dan hujan lebat akibat Monsun Timur Laut, rakyat Kedah dinasihatkan turut berjaga-jaga dengan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di pesisiran pantai di negeri ini bermula esok hingga 28 Disember depan.
Timbalan Pengarah APM Kedah, Mejar (PA) Mohd. Muaz Mohd. Yusoff, fenomena air pasang besar itu berkemungkinan akan meningkatkan paras air ke tahap 3.3 meter di sesetengah lokasi dan menyebabkan kawasan rendah di sesetengah kawasan dilanda banjir.
“Mesyuarat dijalankan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan akan berlaku fenomena air pasang besar di pesisiran pantai di Kedah. Dalam masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga meminta kita berjaga-jaga sekiranya fenomena ini berlaku dalam keadaan hujan lebat dan angin kencang berikutan Monsun Timur Laut.
“Oleh itu pemantauan akan sentiasa dijalankan pada setiap masa di pantai-pantai dalam negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelepasan Misi Bantuan Ke Pantai Timur Pejabat APM Kota Setar, malam tadi.
Sementara itu Pegawai Sekretariat APM Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain memaklumkan, pihaknya memberi lebih tumpuan kepada empat daerah iaitu Baling, Kulim, Bandar Baharu dan Kuala Muda bagi menghadapi Monsun Timur Laut ketika ini.
Menurutnya, empat daerah tersebut diberi lebih perhatian bersandarkan kepada data dikeluarkan JPS serta rekod kekerapan banjir dan tahap kerosakan sebelum ini.
“Baling contohnya sebelum ini telah mengalami 23 kali banjir. Disebabkan itu, daerah tersebut sememangnya diberi tumpuan yang lebih dalam persediaan kali ini.
“Di kawasan-kawasan ini, APM Kedah telah melakukan lebih persediaan terutamanya dari aspek anggota dan aset-aset logistik. Sekiranya berlaku bencana, maka mereka ini bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi APM Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah menasihatkan kalangan pengunjung yang hadir ke pantai-pantai terutamanya pada musim cuti sekolah ketika ini agar sentiasa berhati-hati serta peka terhadap keadaan sekeliling.
Katanya, kalangan pengunjung tidak seharusnya berdegil dengan tetap turun ke laut sekiranya bendera merah telah dinaikkan sebagai petanda kepada situasi tidak selamat untuk turun ke pantai.
“Kalau bendera merah sudah dinaikkan, kita harap tiada mana-mana pengunjung yang berdegil untuk tetap mandi-manda di pesisir pantai. Kita tak mahu berlaku kejadian tidak diingini apatah lagi dengan kemasukan pengunjung yang ramai ke pantai-pantai terutamanya di Langkawi ketika ini,” katanya.
Leave a Reply