SEORANG bayi berusia 40 hari bersama tujuh ahli keluarga antara mangsa banjir yang diselamatkan pihak bomba selepas kediamannya di Kampung Pulau Rusa Hilir di Kuala Terengganu, dinaiki air pada semalam.
Pihak bomba mengambil masa kira-kira 45 minit bagi memindahkan keluarga terbabit ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Haja, seramai enam anggota bomba yang ditugaskan di situ berdepan cabaran arus deras sepanjang proses menyelamat kerana air sungai naik mendadak di kawasan berkenaan.
“Sebelum sampai ke rumah tersebut, air sungai sedang naik dan pihak bomba berdepan cabaran arus sungai yang agak deras dan perlu lebih berwaspada dan mengutamakan aspek keselamatan.
“Ketika pasukan penyelamat sampai di rumah itu, paras air sudah setinggi lebih satu meter.
“Bagaimanapun, dengan kerjasama diberikan penduduk serta ahli keluarga mangsa banjir, proses pemindahan di situ berjalan lancar,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Dalam pada itu, Rozizah turut mengingatkan semua mangsa banjir untuk sedia berpindah lebih awal bagi mengelak kemungkinan tidak diingini.
“Ada juga mangsa banjir yang pada mulanya enggan berpindah dengan memberikan alasan mahu berlindung di tingkat atas kediaman, namun mereka kembali menelefon pihak bomba untuk berpindah setelah air semakin naik.
“Itu bukan langkah terbaik dalam tempoh bencana ini kerana kita bimbang proses menyelamat lebih sukar pada waktu malam.
“Jadi kita mohon sangat kepada mangsa banjir ini segera berpindah setelah pihak bomba sampai kerana nyawa lebih penting untuk diselamatkan. Apabila air kembali surut bolehlah pulang ke rumah,” katanya.
Sementara itu, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), sehingga pukul 10 pagi tadi, seramai 38,454 mangsa banjir dari 10,595 keluarga dipindahkan ke 315 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh daerah selepas kediaman mereka dinaiki air.
Banjir gelombang kedua di Terengganu kali ini disifatkan paling buruk apabila semua daerah iaitu Kemaman, Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun terjejas.
Leave a Reply