Undi percaya terhadap Anwar hanya gimik-Ketua Pembangkang

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya gimik semata-mata terutama selepas perjanjian dimeterai antara kerajaan yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Usul yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu mewujudkan pelbagai persoalan.

“Apakah usul ini mempersoalkan kuasa dan keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong atau kerana kerajaan dibentuk ini adalah kerajaan minoriti walaupun seperti kenyataan Yang Amat Berhormat Tambun bahawa Yang Berhormat Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah pun dalam pusingan pertama memperoleh sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kami sedar bahawa usul ini adalah gimik semata-mata apatah lagi dilakukan selepas satu perjanjian kerjasama ditandatangani semua pemimpin untuk menyokong Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Ahli Parlimen Larut itu berkata demikian ketika berbahas pada usul percaya Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini, lapor Berita Harian.

Hamzah seterusnya menyifatkannya sebagai satu perjanjian yang menyekat dan memudaratkan demokrasi berparlimen.

Katanya, kesan kumulatif peruntukan daripada perjanjian terbabit menyebabkan semua Ahli Parlimen daripada PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (WARISAN) mengundi hanya dengan cara yang dikehendaki Anwar.

Jelasnya, keadaan itu bercanggah dengan prinsip asas berparlimen yang dijamin Perlembagaan dan undang-undang Malaysia.

“Ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan dasar awam, tidak sah serta tidak dibenarkan undang-undang.

“Adakah ini demokrasi yang dilaungkan Yang Amat Berhormat Tambun. Yang Amat Berhormat Tambun tidak perlu takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga sanggup melanggar prinsip perjuangan sendiri,” soalnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *