AHLI Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib tidak sempat mengundi ketika proses pemilihan Speaker Dewan Rakyat di Parlimen susulan mengalami migrain teruk, pada awal pagi tadi.
Pagi tadi, Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Speaker baharu selepas mendapat 147 undi menerusi undian bersurat, berbanding calon dinamakan pembangkang, Radzi Sheikh Ahmad yang memperoleh 74 undi, menjadikan keseluruhan Ahli Parlimen mengundi sebanyak 221.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Timbalan Menteri Ekonomi itu terpaksa mengambil ubat bagi meredakan kesakitan dialami.
“Dalam perjalanan ke Parlimen, beliau terperangkap dalam kesesakan trafik dan sampai di Parlimen, namun tidak sempat untuk mengundi (calon) Speaker,” katanya memetik laporan FMT.
Hanifah merupakan Timbalan Menteri Ekonomi dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), selain anak perempuan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud.
Leave a Reply