Oleh RIZQI ZABIDI
JABATAN Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menutup operasi semua Taman Eko Rimba (TER), Hutan Taman Negeri (HTN) dan kawasan pendakian dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) di bawah pengurusannya untuk sebarang aktiviti buat sementara waktu.
Pengarah Perhutanan Negeri, Muhamad Abdullah berkata, langkah itu bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku terhadap mana-mana individu yang berkunjung mahu pun melaksanakan aktiviti di kawasan tersebut.
Katanya penutupan itu akan dilaksanakan hingga ke suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.
“Aktiviti rekreasi dimaksudkan termasuklah pendakian gunung, sukan lasak berkenderaan dan lain-lain jenis riadah. Penutupan sementara ini bagi mengelak sebarang kemalangan disebabkan kejadian bencana atau kemalangan seperti pokok tumbang, tanah runtuh, lemas, fenomena kepala air dan sebagainya yang mungkin mengancam nyawa dan keselamatan orang awam.
“TER dan HTN yang ditutup adalah di bawah pengurusan JPNK yang melibatkan TER Bukit Wang di Kubang Pasu; Puncak Janing di Padang Terap; Sungai Teroi di Yan; Lata Mengkuang di Sik; Ulu Paip di Kulim; Sungai Rambai di Pendang; Tupah Kuala Muda; Bukit Hijau dan Lata Bayu di Baling serta Taman Negeri Ulu Muda.
“Selain itu terdapat 15 kawasan pendakian yang ditutup sementara bagi sebarang kegiatan pendakian iaitu Gunung Jerai, Gunung Kemerlong, Bukit Perak, Bukit Enggang, Bukit Saiong, Gunung Bintang, Bukit Besar Kulim, Bukit Batu Merah, Bukit Fakir Terbang, Bukit Air Terjun Lebai Husin, Bukit Kilim, Gunung Matchinchang, Bukit Selat Panchor, Gunung Raya (Tangga Helang Seribu) dan Bukit Batu Licin (Pulau Tuba),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, penutupan sementara itu tidak termasuk TER yang telah diswastakan kepada operator yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Kedah.
“Sebanyak 10 TER di Negeri Kedah telah diswastakan antaranya Pasir Tengkorak, Telaga Tujuh, Air Terjun Temurun, Tasik Dayang Bunting dan Gua Cherita di Langkawi.
“Selain itu Seri Perigi, Batu Hampar dan Titi Hayun di Yan; Perangin di Sik dan Sungai Sedim di Kulim,” katanya.
Kalangan operator serta syarikat swasta yang menguruskan TER itu bagaimanapun dinasihatkan supaya memberhentikan operasi buat sementara waktu.
“Tanggungjawab bagi menjaga keselamatan para pengunjung di TER yang telah diswastakan adalah tertakluk kepada pihak operator masing-masing.
“JPNK tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang insiden kemalangan dan kecelakaan yang berlaku sepanjang musim tengkujuh ini. Pihak JPNK berharap agar semua para pengunjung mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh JPNK untuk keselamatan semua,” katanya.
Leave a Reply