Tanah runtuh Batang Kali: Pilu seorang nenek, hilang empat ahli keluarga sekelip mata

LULUH jiwa seorang nenek apabila dia kehilangan empat ahli keluarga sekelip mata dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Beh Su Lee, 59, kehilangan anak perempuannya, menantu serta dua cucu yang berusia satu dan enam tahun.

Menurutnya, pengecaman mayat ke atas tiga mangsa dilakukan semalam manakala seorang lagi hari ini.

“Semua empat, tiga (dibuat pengecaman) semalam hari ini satu,” katanya sambil menangis ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh (HSB), hari ini, lapor Astro Awani.

Menurut Su Lee, anak perempuannya berusia 35 tahun manakala menantunya pula berusia 34 tahun.

Keempat-empat mayat mangsa tanah runtuh itu dilihat meninggalkan HSB menaiki dua kenderaan Pusat Peringatan Nirvana pada pukul 1.22 tengah hari.

Sebuah kenderaan membawa pasangan suami dan isteri, sementara sebuah lagi kenderaan membawa kedua-dua anak mereka.

Dengan perkembangan ini, 21 daripada 24 mayat yang ditempatkan di HSB sudah dituntut sehingga pukul 2 petang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *