Disangka patung rupanya mayat tersangkut

SEORANG pekerja pam pasir yang dilaporkan terjatuh sungai sejak tiga hari lalu, ditemukan mayatnya tersangkut pada rumah rakit di Kampung Ekor Lambat di Parit, hari ini.

Penduduk, Zulkhairi Meor Mohamed Amno, 28, berkata, pada mulanya disangkakan patung tersangkut pada rumah rakit berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari selepas terhidu bau busuk.

“Saya bersama dua rakan selalu lepak di rumah rakit sambil menjahit jaring. Sebaik tiba sahaja di sini, saya tercari-cari bau busuk seperti bangkai di sekeliling rumah rakit.

“Saya sangka objek terapung itu patung apabila saya mendekatinya, saya terkejut terus berlari naik atas tebing dan menghubungi pihak polis,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Menurutnya, itu merupakan pengalaman pertama jumpa mayat sepanjang lima tahun bekerja di premis ternakan ikan sangkar.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, mayat mangsa dikenali sebagai M. Chandran, 38, ditemukan kira-kira 30 kilometer dari lokasi terakhir dilihat.

Tambahnya, lelaki terbabit ditemui pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan selepas menerima panggilan sekitar pukul 11.17 lagi, Jumaat lalu.

“Mangsa ditemui dalam keadaan terapung dan tersangkut di kawasan ternakan ikan.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit menggunakan bot untuk mengambil mayat dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, seramai 26 pegawai dan anggota daripada bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat dan operasi ditamatkan pada pukul 2.20 petang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *