Bot nelayan tempatan dan Indonesia bersama 11 PATI ditahan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan dan sebuah bot nelayan asing Indonesia di perairan negeri itu dalam dua operasi berasingan, Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia melakukan penahanan pertama melibatkan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 71 batu nautika barat Pulau Kendi pada pukul 1.50 tengah hari.

Tambah beliau, penahanan kedua iaitu sebuah bot nelayan asing Indonesia pula dilakukan di kedudukan 19.8 batu nautika bart daya Pulau Kendi pukul 7.20 petang ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung.

Ujarnya, hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu dikendalikan enam Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar berusia antara 35 hingga 50 tahun yang didapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri serta permit bekerja.

“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan asing Indonesia pula mendapati, bot terbabit berpangkalan di Tanjung Balai, Indonesia dan dikendalikan oleh lima kru warga negara itu berumur antara 13 hingga 30 tahun.

Jelasnya, kesemua mereka juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

Bot nelayan tempatan itu dikendalikan enam PATI warga Myanmar berusia antara 35 hingga 50 tahun yang didapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri serta permit bekerja

“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua bot serta kesemua kru itu ditahan termasuk hasil laut dibawa di Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

Dalam pada itu ujarnya, Maritim Malaysia menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan tempatan termasuk pemilik bot agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada serta memastikan perairan negara sentiasa terkawal dari isu pencerobohan bot nelayan asing.
 
“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *