Tanah runtuh Batang Kali: Wisma Putra sahkan tiga warga Singapura terlibat

KEMENTERIAN Luar Negeri mengesahkan tiga daripada 61 mangsa yang terselamat dalam tragedi tanah runtuh merupakan warga Singapura.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra, ketiga-tiga warga Singapura itu ditemui selamat dalam usaha misi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakan pihak berkuasa.

“Kerajaan Malaysia sedang berusaha sehabis baik dalam memastikan semua yang terkesan dengan tragedi tersebut diberikan bantuan segera,” katanya kenyataan itu, lapor Astro Awani.

Wisma Putra turut mendoakan keselamatan mangsa dan mereka yang terlibat dengan operasi mencari dan menyelamat.

Sebelum ini Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengucapkan takziah dan bersimpati kepada semua mangsa yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Genting Highlands.

Hsien Loong turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas bantuan yang diberikan kepada rakyat Singapura yang terjejas akibat tanah runtuh itu.

“Pasukan Pertahanan Awam Singapura bersedia untuk membantu usaha mencari dan menyelamat jika perlu,” kata beliau.

Tengah malam tadi, operasi mencari dan menyelamat 12 lagi mangsa terpaksa ditangguhkan atas faktor cuaca hujan dan disambung semula jam 8 pagi Sabtu.

Setakat tengah malam Jumaat, 12 orang masih dilaporkan hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *