Tanah runtuh Batang Kali: Identiti 21 mangsa maut belum dikenal pasti – Polis

IDENTITI kesemua 21 mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Hulu Selangor masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, mereka yang terkorban ditemukan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

“Seramai 21 mangsa (terkorban) yang kita jumpa itu semuanya tiada dokumen.

“Sekarang mereka Hospital Sungai Buloh dan sedang mencari waris mangsa yang hilang untuk membuat pengecaman,” katanya dalam sidang media di Hulu Selangor hari ini seperti dilaporkan Astro Awani.

Suffian menambah arahan bedah siasat mangsa yang terkorban telah dikeluarkan semalam.

Terdahulu, seramai 135 petugas operasi dan menyelamat (SAR) yang pakar dengan kejadian tanah runtuh dikerah ke lokasi runtuhan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain memastikan keselamatan pasukan bertugas.

Setakat malam tadi, seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, manakala 12 orang lagi masih hilang.

Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *