PERJANJIAN persefahaman kerjasama yang dimeterai Pakatan Harapan (PH) dengan gabungan parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengundang reaksi berbeza daripada pengamal undang-undang.
Peguam, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir, menyifatkan perjanjian terbabit sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan.
Katanya, tiada terma ‘perjanjian’ yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, boleh dikatakan sah dari segi polisi awam.
“Wakil rakyat memiliki tanggungjawab keperlembagaan untuk membentangkan pendirian mereka bagi pengundi yang diwakili.
“Tanggungjawab ini, mesti mengatasi apa-apa yang diperuntukkan dalam mana-mana perjanjian,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Nizam Bashir berkata, sebarang kekangan atas tanggungjawab keperlembagaan, khususnya jika ia membelakangkan kepentingan rakyat, tidak wajar dihujahkan sebagai konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Ruang mesti wujud untuk seorang wakil rakyat melaksanakan tanggungjawabnya iaitu untuk tidak menyokong sekiranya Perdana Menteri bertindak membelakangkan kepentingan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz, berkata perjanjian itu adalah sah dan tidak melanggar mana-mana klausa Perlembagaan kerana selaras dengan Akta Anti-Lompat Parti.
Mengulas sama ada perjanjian itu adalah haram dan tidak berperlembagaan serta akan membawa kepada pemerintahan diktator, Mohd. Khairul hanya menjawab, ‘tidak setuju’.
Semalam, empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan PH diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH, diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.
Turut menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan ialah Setiausaha Agung gabungan politik masing-masing iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Datuk Seri Zambry Ab Kadir (BN); Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS); Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS) dan Datuk Loretto S Padua Jr (Warisan).
Leave a Reply