Lantikan politik dalam GLC terima surat penamatan

SEMUA lantikan politik dalam syarikat kerajaan telah menerima surat pemberitahuan bahawa khidmat mereka telah ditamatkan.

Surat berkenaan telah dihantar semalam dan penamatan perkhidmatan mereka berkuatkuasa serta-merta, lapor Free Malaysia Today (FMT).

Menurut FMT, pihaknya mendapat pengesahan itu melalui beberapa sumber bahawa surat itu dihantar kepada lantikan politik yang dilantik sebagai pengerusi atau ahli lembaga badan berkanun persekutuan.

Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia, Datuk Larry Sng Wei Shien Larry Sng mengesahkan bahawa beliau telah menerima suratnya, begitu juga dengan ahli lembaga pengarah lain yang dilantik atas syor parti politik mereka.

Sng, yang merupakan presiden Parti Bangsa Malaysia, dilantik oleh Zuraida Kamaruddin semasa beliau menjadi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada Oktober 2021.

Beliau berkata, penamatan pelantikan politik adalah langkah tepat dan Kerajaan Perpaduan perlu diberi ruang dan masa untuk membuat pelantikan sendiri kepada GLC dan agensi kerajaan lain.

Kelmarin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, telah menghantar pekeliling kepada ketua setiausaha setiap kementerian mengatakan Jemaah Menteri telah bersetuju dengan penamatan serta-merta kontrak pelantikan politik.

Mereka terjejas adalah dalam badan berkanun persekutuan dan syarikat kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, dan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan.

Sng, yang merupakan MP Julau. berkata ramai bekas menteri dan ahli politik kanan sangat berkebolehan.

“Adalah satu pembaziran untuk melepaskan bakat itu menerusi dasar menyeluruh yang menghalang ahli parti politik daripada memegang jawatan ini.

“Saya menggesa pengkritik supaya bersabar dan membenarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri memanfaatkan bakat hebat dari pelbagai sektor untuk menerajui syarikat-syarikat ini. Mari kita menilai mereka selepas beberapa tahun,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *