PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga dan waris mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor, pagi ini.
Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri berkata, beliau pada masa sama berharap keluarga mangsa tabah dengan ujian itu dan bersabar menghadapi saat yang mendukacitakan ini.
“Saya juga mendoakan kesembuhan segera kepada semua mangsa yang terselamat dan sedang menjalani rawatan di hospital.
“Marilah sama-sama kita berdoa agar semua mangsa yang masih hilang dapat ditemui segera dan berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terbabit dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat khususnya pasukan keselamatan, agensi penyelamat dan pasukan perubatan yang bekerja keras sehingga ke saat ini bagi mencari dan menyelamatkan mangsa.
Setakat pukul 4.40 petang ini, kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, itu mengorbankan 18 orang.
Ketika ini operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan pasukan penyelamat antaranya membabitkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).
Leave a Reply