Shamsul Iskandar, Ming Kai dilantik Setiausaha Politik PM

DUA bekas Ahli Parlimen PKR – Shamsul Iskandar Md Akin dan Chan Ming Kai – dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shamsul Iskandar memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Politik.

The Vibes melaporkan, Shamsul Iskandar berkata beliau mempunyai tugas berat menanti kerana dijangka membantu Perdana Menteri melaksanakan dasar.

“Rakyat mempunyai harapan yang tinggi terhadap kerajaan ini dan oleh itu kita perlu bekerja keras sebagai satu pasukan dan menyokong kepimpinan PM,” katanya.

Shamsul Iskandar, 47, juga adalah seorang peguam dan pernah menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal. Kerjaya politiknya menyaksikan parti meletakkannya sebagai calon di tiga negeri berbeza.

Pelantikannya tidak mengejutkan kerana dia dikenali sebagai penyokong setia Anwar selama dua dekad.

Semasa pilihan raya 19 November, beliau diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan bagi Bagan Datuk dan hampir menyingkirkan penyandangnya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pelantikan Shamsul dan Chan berkuat kuasa pada 1 Disember.

Chan menulis tentang pelantikannya di laman Facebooknya malam tadi dan menyifatkan tugasnya sebagai cabaran baru.

Bercakap kepada Malaysiakini, Chan berkata tugasnya adalah untuk membantu perdana menteri dalam apa jua cara yang perlu.

“Saya akan melaporkan apa yang sebenarnya berlaku di lapangan,” kata Chan dalam jawapan ringkas kepada portal itu.

Sejak 2008, Chan juga telah menjadi ahli parlimen PKR di tiga negeri berbeza. Bagaimanapun, dia tidak diturunkan untuk pilihan raya baru-baru ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *