Operasi SAR tanah runtuh berjalan 24 jam

MISI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tertimbus tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran Father’s Organic Farm di Goh Tong Jaya, di Hulu Selangor akan diteruskan selama 24 jam dengan tumpuan diberikan kepada sektor B dan C.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, misi itu bagaimanapun akan dihentikan sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan.

Norazam Khamis

Beliau juga mengakui pasukan penyelamat berdepan kesukaran dalam misi SAR berikutan keadaan mangsa yang dipercayai tertimbus pada kedalaman kira-kira 1.2 meter (m), selain kedudukan mereka teralih berikutan gelongsoran tanah.

Sejumlah 16 mangsa yang maut katanya ditemui di sektor A, manakala tiga lagi di sektor C, selain menjangkakan baki mangsa yang masih tertimbus berada di sektor B dan C.

Sektor A bagi misi SAR berkenaan terletak di kem Hillview, manakala sektor B di kem Farmview dan sektor C pula berhampiran kem Riverside.

“Setakat ini masih ada runtuhan susulan di sektor A antara jam 7 hingga 9 pagi tadi, namun sekarang sudah stabil dan kita sentiasa dalam keadaan waspada kerana terdapat aliran air di kawasan runtuhan.

“Kita juga masih meneliti pergerakan tanah dan akan meminta pasukan penyelamat menghentikan misi jika berlaku sebarang insiden atau aktiviti geologi di kawasan pencarian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini, lapor Berita Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *