Kandungan air tinggi dalam tanah dipercayai punca cerun runtuh

KADAR kandungan air yang tinggi yang mengakibatkan tanah menjadi lembap dipercayai mendorong kepada bebanan tinggi pada permukaan cerun sehingga berlakunya runtuhan tanah di Father Organic Farm, Batang Kali awal pagi tadi.

Menurut Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer, ia antara faktor mengakibatkan permukaan cerun menjadi lemah kerana keadaannya yang perun dan mengandungi lodak tinggi.

Beliau berkata, kegagalan cerun seperti yang berlaku dalam runtuhan tanah di Batang Kali berkemungkinan disebabkan kadar ketepuan tanah menjadi tinggi akibat air masuk jauh ke dalam bumi.

“Cerun boleh gagal apabila ketepuan tanah itu tinggi dan tanah tebal sebenarnya, berpuluh meter ke dalam bumi dan ini menunjukkan apabila air masuk, air akan masuk jauh ke dalam.

“Apabila jauh ke dalam, kawasan yang mungkin tepu air itu berada di dalam, bukan di permukaan. Sebab itu apabila kawasan yang dalam ini tepu air, skala pergerakan tanah akan menjadi besar kerana satahnya (permukaan rata) itu berada jauh di dalam bumi,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

Mengulas lanjut Nor Shahidah berkata, apabila satah itu lemah, ia membawa turun sejumlah tanah yang besar menuruni cerun dan berlaku runtuhan tanah.

Katanya, walaupun tanpa hujan lebat dua atau tiga hari sebelum kejadian runtuhan berlaku, kekerapan hujan sebelum tempoh itu menyebabkan pembasahan tanah secara berterusan.

“Saya tak rasa pembersihan tanah antara punca tetapi mungkin ada unsur itu sedikit sebab ada pembinaan jalan raya di situ dan sudah tentu ada bukit yang dipotong. Jadi apabila bukit itu dipotong sedikit demi sedikit dan tanpa struktur penahan serta penstabilan cerun yang baik, cerun akan menjadi lemah.

“Jadi sebab itu kita memerlukan struktur penstabilan cerun dibina di kawasan yang mengalami sedikit canggaan seperti memasang tembok penahan atau apa sahaja struktur yang bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd Rasid Jaapar, berkata bencana yang berlaku di Batang Kali dikenali sebagai ‘delayed deep-seated landslide’.

Beliau berkata, cerun yang runtuh kemungkinan membabitkan cerun buatan manusia yang ditambak bagi pembinaan jalan raya.

“Satah menggelincir mungkin pada kedalaman tiga hingga lima meter di bawah permukaan cerun. Biasanya ia adalah antara sempadan antara bahan yang diisi (untuk tambak cerun) dan tanah asal.

“Saya percaya air yang meresap melalui sempadan ini dari tempat yang lebih tinggi (atas bukit) menyeberangi jalan. Hujan lebat berlaku beberapa hari sebelum itu meresap ke dalam tanah dan mengalir bawah tanah ke arah cerun dan itulah sebabnya kegagalan hanya berlaku selepas beberapa hari selepas hujan,” katanya.

Abd Rasid berkata, semua lereng bukit berpotensi berlaku bencana namun bukan semua cerun berisiko dan sebarang aktiviti atau pembangunan di kawasan berkenaan perlu melalui kajian geologi terlebih dahulu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *