SERAMAI 32 individu yang dipercayai terlibat sebagai ejen ‘bookie’ pertaruhan kejohanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 ditahan di Pulau Pinang dalam Ops Soga IX yang dijalankan antara 19 November hingga 14 Disember lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua mereka iaitu masing-masing 28 lelaki warga tempatan serta empat warga asing ditahan dalam 19 serbuan yang dilakukan di seluruh negeri itu.
Jelas beliau, operasi itu bertujuan mencegah dan membanteras aktiviti perjudian catit taruh tanpa lesen sah sepanjang berlansungnya kejohanan bola sepak Piala Dunia.
“Dalam operasi ini, kita turut merampas wang tunai berjumlah RM64,873, 26 unit telefon bimbit termasuk sim kad, satu unit komputer riba, satu unit modem dan tujuh kertas catitan dalam operasi itu.
“Kesemua tangkapan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4 (1) (d) Akta Pertaruhan 1953,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Ops Soga IX itu juga dijalankan bagi menahan mana-mana individu yang bertindak sebagai ‘bookie’ kerana melakukan kesalahan undang-undang di bawah Akta Pertaruhan 1953.
Tambah beliau, polis Pulau Pinang komited dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat menganjur serta menjalankan aktiviti pertaruhan tanpa lesen berlandaskan undang-undang sedia ada.
”Polis juga memohon kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan pertaruhan bola sepak melalui hotline Bilik Gerakan Polis Pulau Pinang menerusi talian 04- 2221522 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Leave a Reply