POLIS menahan dua pengedar dadah warga Thailand dan merampas sepucuk pistol di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Rahmat, Lubok Setol, Kuala Terengganu, semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu itu dilakukan pada pukul 10.30 pagi.
“Semasa tangkapan dibuat berlaku pergelutan dengan suspek sehingga menyebabkan salah seorang anggota mengalami kecederaan di bahagian dahi.
“Sebaik sahaja kedua-dua suspek yang berusia 20 hingga 40 tahun itu diberkas dan pemeriksaan yang dijalankan di rumah tersebut telah menjumpai sepucuk pistol jenis S&W 38 bersama 25 biji peluru hidup.
“Pada masa yang sama kita telah merampas 164 biji pil yaba,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas hari ini.
Hadir sama Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintendan Mannadzar Nasib.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak dua tahun lalu.
Ujarnya, polis turut mendapati rumah yang dijadikan sebagai ‘markas’ itu sudah disewa sejak dua tahun lalu.
Leave a Reply