AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan kru warga asing pukul 9.13 pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, Kapal ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot nelayan kelas C2 sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda di kedudukan 62 batu nautika barat Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, bot yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu dikendalikan lima kru pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berumur antara 20 hingga 43 tahun.
Jelas beliau, mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
“Bot serta kesemua kru ditahan termasuk hasil laut yang dianggarkan kira-kira 150 kilogram (kg) dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu tambahnya, Maritim Malaysia menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan termasuk pemilik bot supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada.
“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.
Leave a Reply