‘Survival’ UMNO merosot teruk jika tiada pertandingan jawatan presiden, timbalan

“SURVIVAL” dan imej UMNO akan merosot teruk jika dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang, kata penganalisis politik.

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, ini kerana parti Melayu itu kini berpecah kepada dua kem iaitu satu mahukan Presiden Ahmad Zahid Hamidi berundur selepas kekalahan terburuk mereka dalam PRU15, sementara satu pihak lagi kekal menyokong kepimpinan beliau.

“Sebelum ini akar umbi menyuarakan agar presiden letak jawatan demi untuk memulihkan imej kepartian agar disenangi dan diterima semula oleh orang ramai, dan paling penting membuka ruang dan laluan kepada proses demokrasi.

“Adalah baik jika dua jawatan tertinggi itu dipertandingkan, jika tidak ia akan memberi impak dan kesan serius kepada ‘survival’ UMNO itu sendiri,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Sebelum ini Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos mencadangkan satu usul dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bulan depan, agar jawatan presiden dan timbalan tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Bagaimanapun, Ariff tidak menolak Zahid akan kekal memimpin Umno untuk sepenggal lagi jika jawatan itu dipertandingkan, kerana sukar baginya bergerak sebagai timbalan perdana menteri sekiranya tidak lagi menjadi sebahagian pemimpin tertinggi parti.

“Kemungkinan besar beliau mempertahankan jawatannya sepenggal lagi kerana jika kita lihat dalam konteks hari ini, sekiranya tidak mempertahankan jawatan presiden, agak sukar untuk beliau bergerak dalam konteks kerajaan perpaduan.

“Dalam konteks kerajaan perpaduan walaupun beliau dipilih sebagai TPM, pada waktu sama beliau perlulah dilihat sebagai dominan bukan saja dalam konteks kepartian tetapi dalam Jemaah Menteri itu sendiri,” katanya menambah kemungkinan besar Zahid mengekalkan jawatannya dan status quo kembali seperti sebelumnya.

Beliau berkata, sudah tentu penolakan dari akar umbi terhadap Zahid akan berlaku, namun hanya membabitkan kelompok kecil memandangkan sebahagian besar akar umbi dan pemimpin Umno akur keputusan mengejut PRU15 lalu, manakala keutamaan parti kini adalah menjayakan agenda kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata agak sukar untuk usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan diluluskan memandangkan ia memerlukan suara majoriti akar umbi dari 191 bahagian.

“Bagi saya sukar untuk dapat kelulusan melalui PAU kerana ia memerlukan hampir sebulat suara. Saya tak nampak perkara itu boleh berlaku,” katanya.

PAU 2022 yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 24 Dis ini ditangguhkan kepada 10 hingga 13 Jan depan. Bagaimanapun, tiada pemilihan parti diadakan dalam tempoh persidangan itu.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) sebelum ini meluluskan usul pindaan Perlembagaan Umno yang diputuskan parti itu sebelum ini. Kelulusan itu menyaksikan pemilihan Umno di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih dari enam bulan selepas pilihan raya umum.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *