Shahidan cabar Adam buktikan badan sukan terlibat rasuah

PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim mahu Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli membuktikan dakwaannya bahawa badan sukan di negara ini dibelenggu oleh gejala rasuah.

Jika tidak, Shahidan berkata mereka akan bertindak berhubung kenyataannya yang tidak berasas itu.

“Jangan sekali-kali hendak menjadi juara dengan melemparkan kenyataan-kenyataan yang tidak berasas dan kurang fakta.

“Sila dapatkan maklumat lengkap bagaimanakah badan-badan sukan diuruskan oleh orang-orang yang dipilih.

“Sila buktikan badan sukan mana yang terlibat dengan rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

Bekas menteri wilayah persekutuan itu juga berkata Adam, sebagai timbalan menteri belia dan sukan, sepatutnya mempertahankan sukan di Malaysia dan bukannya membuat kenyataan yang memburukkan nama baik sukan dan badan-badan sukan.

Komen sedemikian, katanya, adalah “kurang sihat dan tidak sesuai” dikeluarkan oleh seorang timbalan menteri.

Shahidan juga menegaskan bahawa Adam adalah orang baru dalam dunia sukan.

Sebelum ini, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Mohamad Norza Zakaria juga membidas Adam berhubung dakwaannya bahawa badan sukan di negara ini dibelenggu oleh gejala rasuah.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin dan Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) Chong Kim Fatt turut tidak berkecuali dan berkata adalah baik sekiranya Adam berbincang dengan pihak berkepentingan sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Adam dilaporkan berkata dua hari lalu bahawa rasuah dalam badan sukan mesti ditangani bagi membolehkan atlet Malaysia merealisasikan potensi penuh mereka.

Bagaimanapun, dia tidak menghuraikan lebih lanjut mengenai unsur rasuah dalam badan sukan.

Katanya lagi, dia perlu mempertahankan sukan berbanding mengeluarkan komen yang memburukkan nama baik sukan dan badan-badan sukan.

“Ini adalah kurang sihat dan tidak sesuai dikeluarkan oleh seorang Timbalan Menteri Belia dan Sukan,” ujarnya lagi.

Shahidan menggesa timbalan menteri belia dan sukan itu mendapatkan maklumat yang lengkap berkenaan badan-badan sukan diuruskan oleh orang-orang yang dipilih dan membuktikan badan sukan yang terlibat dengan rasuah.

“Jika tidak kami akan mengambil tindakan terhadap dakwaan yang tidak berasas ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, beberapa badan sukan antaranya Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut menyanggah dakwaan yang dibuat oleh Adam Adli terhadap industri sukan negara yang dikatakan terpalit rasuah.

Mereka telah meluahkan rasa kekecewaan terhadap tuduhan yang dilemparkan dan menggesa Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu memberikan hujah terhadap dakwaannya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *