Mangsa letupan tong gas memasak stabil, tapi terpaksa ditidurkan

MANGSA kejadian letupan tong gas petroleum cecair (LPG) di sebuah rumah di Taman Sena Permai, Tasek Gelugor, Pulau Pinang semalam dilaporkan berada di dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, Siti Hajar Hanis Muhamad, 26, yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) terpaksa ditidurkan berikutan kecederaan yang dialaminya ekoran kejadian tersebut.

Adik mangsa, Muhammad Azib Muhamad, 25, bagaimanapun berkata, kakaknya itu kini dirawat di HSJ selepas dipindahkan dari Hospital Kepala Batas (HKB).

Tambahnya, kakaknya itu sepatutnya dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) di bawah seliaan pakar kulit (dermatologi) namun tiada kekosongan katil di HPP ketika ini.

“Buat sementara waktu, rawatan diteruskan di HSJ dan pihak hospital akan maklumkan sekiranya ada tempat untuk kakak saya mendapatkan rawatan di HPP nanti,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Azib berkata, keluarganya akan menunggu Siti Hajar sedar terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada pernikahan kakaknya yang dijadualkan berlangsung bulan depan diteruskan atau sebaliknya.

Jelasnya, keluargnya sudah berbincang dengan keluarga tunang kakaknya dan sekiranya keadaan mengizinkan majlis akad nikah mungkin boleh dijalankan terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada tahap kesihatan kakak saya kelak,” katanya.

Dalam kejadian pukul 8 pagi semalam, mangsa dikatakan mahu menggoreng ikan sebelum gas memasak LPG di rumah yang didiami bersama adik dan adik iparnya tiba-tiba meletup menyebabkan mangsa melecur pada hampir keseluruhan bahagian badan.

Kejadian itu juga menyebabkan rumah teres dua tingkat yang didiami mereka hampir musnah dengan siling dan dinding turut roboh.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *