MAJLIS Bertindak Pendidikan Kebangsaan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tunduk dengan tuntutan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Borhan dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, pihaknya berpendapat sebarang pengiktirafan adalah bertentangan dengan sistem pendidikan kebangsaan sedia ada yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.
“Tuntutan Dong Zong untuk mengiktiraf UEC adalah bertentangan dengan aspirasi negara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
“Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlulah dimartabatkan oleh Kementerian Pendidikan, manakala UEC ialah sistem peperiksaan yang disediakan oleh persatuan sekolah swasta Cina yang bercanggah dengan pembinaan jati diri negara bangsa Malaysia.
“Kerajaan juga digesa tidak meluluskan sebarang peruntukan kepada sekolah dan pusat pengajian swasta yang dituntut oleh Dong Zong,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan secara bersama dengan 11 wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang menghadiri pertemuan bagi membincangkan mengenai isu UEC.
NGO terbabit ialah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) yang diwakili Datuk Zainal Abidin Borhan; Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleed Rahamad; Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPPM), Datuk Abdul Raof Hussin dan Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mahmud Hishamuddin Abdul Rashid.
Wakil Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Mohd. Sahandri Gani; wakil Persatuan Penulis Budiman Malaysia, Prof. Dr. Abd. Halim Ali; Persatuan Penulis Budiman Malaysia, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Hussein dan Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti, Majlis Perundangan Melayu (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani.
Turut serta ialah KOR AKWAM 181, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohamad Zai Mustafa; Persatuan Sejarah Batu Pahat, Ramlee Wahab dan Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md. Kechik.
Zainal Abidin berkata, Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan bersedia untuk memberikan kerjasama kepada kerajaan dalam perkongsian kepakaran dan nasihat demi negara yang sejahtera dan bersatu padu.
“Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan menjunjung tinggi hasrat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk kerajaan perpaduan yang dapat menjamin kestabilan negara berteraskan prinsip Kedaulatan Undang-undang dan Keluhuran Perlembagaan.
“Kami yakin bahawa kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri memahami agenda pembentukan negara bangsa yang mengutamakan bahasa Melayu dalam sistem Pendidikan dan pentadbiran negara,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Dong Zong sebelum ini memohon pengiktirafan UEC dibincang secara rasional selepas sekali lagi membangkitkan gesaan yang pernah dibuat ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya UEC diiktiraf.
Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan apabila beberapa pihak dilaporkan melalui portal berita meminta supaya Dong Zong tidak rakus dalam membuat tuntutan itu.
Kerajaan PH sebelum ini menubuhkan satu pasukan petugas untuk mengkaji dasar UEC pada Oktober 2018 dan berjanji untuk mengiktiraf sijil pendidikan berkenaan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Bagaimanapun, Dong Zong dalam kenyataan baru-baru ini membuat permohonan maaf dan memahami kebimbangan masyarakat Melayu dan atas dasar itu, pihaknya sudi berdialog serta berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan pemahaman mengenai UEC, selain meningkatkan muafakat supaya isu pendidikan dapat didalami secara rasional dan pragmatik.
Leave a Reply