PERIKATAN Nasional (PN) dilapor mencalonkan Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad sebagai calon speaker Dewan Rakyat gabungan itu.
Perkara itu didedahkan ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menjelang pemilihan speaker yang dijadualkan pada 19 Dis.
“Kami telah menamakan Tan Sri Radzi (sebagai calon speaker kami),” kata Wan Fayshal, yang juga ketua Pemuda Bersatu, dalam wawancara radio dengan radio BFM awal hari ini.
Sebelum ini Mohd Radzi pernah berkhidmat sebagai ahli parlimen Kangar selepas memenangi pilihan raya 1982, 1986, 2004 dan 2008.
Ahli Bersatu itu juga pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen Langkawi selepas menang dalam pilihan raya 1995 dan kini menjadi senator di Dewan Negara.
Sementara itu, ditanya mengenai undi percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Wan Fayhsal berkata, beliau lebih berminat untuk melihat bagaimana keputusan pengundian untuk speaker.
Parlimen akan bersidang semula pada 19 Disember dengan antara agenda yang dijangka adalah undi percaya terhadap perdana menteri serta pelantikan speaker Dewan Rakyat.
Pengundian akan diadakan memandangkan lebih daripada seorang individu dicalonkan untuk menjadi speaker.
Pakatan Harapan (PH) dijangka mencalonkan Ahli Parlimen Lanang dari DAP, Alice Lau, yang juga ahli jawatankuasa pusat (CEC) DAP, sebagai calon timbalan speaker Dewan Rakyat, manakala PN sebelum ini masih ragu-ragu terhadap calon pilihan mereka.
Minggu lalu, bekas ahli parlimen Sungai Petani Johari Abdul mengesahkan namanya antara calon yang dicadangkan sebagai speaker Dewan Rakyat oleh PH.
Spekulasi bertiup kencang bahawa Johari akan menjadi speaker Dewan Rakyat yang baru selepas Azhar Azizan Harun berundur daripada jawatan itu pada 18 Dis mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Johari ditawarkan jawatan speaker pada 2018 ketika PH mentadbir, namun dia menolak ketika itu.
Leave a Reply