Mulakan di pedalaman bukan pejabat menteri, warga net selar Zaliha isu kemiskinan haid

INISIATIF Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan tuala wanita percuma di pejabat menteri  mencetuskan polemik, menyebabkan pengguna media sosial menyelar tindakan itu sebagai tidak memahami objektif kemiskinan haid.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa mengumumkan inisiatif tersebut sebagai langkah pertama bagi menangani isu berkenaan.

Bagaimanapun, rata-rata pengguna maya mengatakan Zaliha berbuat demikian sebagai ‘menghina’ kemiskinan haid kerana memberi bantuan tuala wanita kepada yang mampu daripada segi kewangan tambahan lagi golongan bekerja di kementerian kerajaan.

“Dengar kata tandas wanita pejabat menteri kesihatan akan dapat bekalan tuala wanita percuma.

“Tahniahlah ramai orang miskin di pejabat menteri rupanya,” tulis pengguna Ab Jalil Backer di Facebook. 

“Kerja Putrajaya ni orang-orang susah sebenarnya,” tulis Arwish dalam Facebook Astro Awani.

“Jangan marah. Mereka tak mampu.

“Dah lama mereka tak dapat bonus. Korang apa tahu,” tulis Khatijah Mat Som di Twitter.

Sementara itu seorang doktor perubatan dengan 49,000 pengikut di Facebook turut menegur tindakan Zaliha mengatakan pemberian tuala wanita kepada petugas pejabat menteri tidak perlu dihebahkan kepada umum.

Kata Dr. Arisman, pengumuman itu bukannya yang dinanti-nantikan oleh masyarakat khusunya petugas kesihatan selepas pelantikan Zaliha sebagai menteri di KKM.

“Tetapi alangkah bagusnya jika program pemberian tuala wanita percuma ini diberikan kepada kawasan-kawasan pedalaman dan kawasan-kawasan dengan jumlah miskin bandar yang tertinggi.

“Mulakan dari situ dahulu,” tulisnya.

Kemiskinan haid merujuk kepada situasi apabila orang perempuan atau keluarga tidak mampu memiliki tuala wanita disebabkan kekangan kewangan.

Sewaktu pandemik, kemiskinan haid terus melanda kelompok miskin bandar mengakibatkan isu itu menjadi semakin meruncing dan membimbangkan.

Ketika itu, ramai pihak memohon bantuan produk sanitasi untuk golongan wanita di tempat tinggal masing-masing yang menjadi petanda golongan miskin bandar tidak memiliki benda asas untuk pengurusan dan kebersihan diri.

Satu gerakan advokasi kemiskinan haid di Malaysia yang menggabungkan badan bukan kerajaan dan penyelidik dikenali Peduli Merah memberitahu usaha yang dijalankan oleh Zaliha sukar mencapai objektif membasmi kemiskinan itu.

Ini kerana kumpulan yang menerima manfaat daripada inisiatif tersebut bukannya dari kumpulan sasaran dan memerlukan keutamaan.

Jurucakap Peduli Merah, Nursyuhaidah A Razak berkata, KKM sepatutnya meletakkan tuala wanita percuma di klinik kesihatan, hospital di kawasan luar bandar dan pedalaman di mana data menunjukkan mereka yang paling memerlukan bantuan tersebut.

“Selain itu, KKM perlu fokus akses rawatan kesihatan haid. Sediakan saringan kesihatan reproduktif untuk miskin bandar dan miskin tegar, bersama dengan kementerian pendidikan dan kemeterian wanita.

“Pantau juga isu kemiskinan haid di sekolah dan pastikan setiap golongan dapat akses pendidikan haid yang tepat. Kaji bersama Kementerian Sumber Manusia berkenaan cuti haid.

“KKM juga perlu ambil kira aspek kesihatan mental bagi individu yang mengalami kemiskinan haid kerana masih belum ada kajian yang berfokuskan kepada perkara ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya lagi, Peduli Merah sudah menghantar 11 tuntutan Haid Setara melalui emel kepada KKM, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) minggu lalu.

Antara tuntutan yang disenaraikan adalah menubuhkan jawatankuasa Haid Setara, pelaksanaan bantuan secara telus tanpa diskriminasi dan memperkenalkan cuti haid untuk pekerja wanita.

Sementara itu, kata Nursyuhaidah, terdapat satu lagi masalah kritikal dalam kemiskinan haid yang wajar diberikan penyelesaian segera oleh KKM bersama kementerian-kementerian yang berkaitan.

Ini melibatkan kebersihan dan produk sanitasi di pusat-pusat tahanan yang menamatkan buruh asing.

Katanya, terdapat laporan yang menyatakan kebanyakan buruh wanita Indonesia yang ditahan dalam pusat tahanan di Malaysia tidak mendapat akses air yang bersih dan rawatan kesihatan asas.

“Malah, tiada tuala wanita pun disediakan. 

“Ini kumpulan sasaran yang diremehkan dan tak diambil berat oleh kementerian.

“Jadi kali ini sesuai dgn agenda reformasi KPWKM , KKM dan KDN boleh kerja dan berikan migran hak yang selayaknya dan bermaruah.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *