Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono menegaskan pentingnya pekerja dilindungi dengan mengatakan Indonesia akan mengenakan sekatan perjalanan ke atas rakyat Malaysia yang mengeksploitasi pekerja Indonesia, demi menegakkan keadilan.
Hermono berkata, sebagai contoh, Radzuan Abu Hadzim dan isterinya Rosnajihah Ramli, yang dibebaskan daripada tuduhan pemerdagangan manusia pada 9 Dis lalu akan menjadi rakyat Malaysia pertama yang akan dilarang memasuki negara itu.
Pasangan itu menafikan menggajikan pembantu rumah warga Indonesia sejak tujuh tahun lalu, dan difahamkan mereka juga enggan menjelaskan bayaran gaji pembantu rumah berkenaan.
“Radzuan dan Rosnajihah dibebaskan daripada pertuduhan pemerdagangan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007/22 (Atipsom) yang telah dipinda, tetapi jika keadilan tidak ditegakkan, mereka akan menjadi rakyat Malaysia pertama yang disekat masuk ke Indonesia kerana mengeksploitasi pekerja Indonesia,” kata Hermono kepada Malaysiakini.
Hermono berkata, ketika perbicaraan kes Atipsom di mahkamah di Klang, pasangan itu memberitahu mereka menyediakan penginapan sementara untuk Yati Karyati yang berusia 60 tahun sementara menunggu untuk dia dihantar pulang.
Bagaimanapun, Yati didapati tidak memiliki dokumen apabila dia diselamatkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Selangor pada Mac lalu berikutan aduan yang dibuat anak perempuannya melalui sebuah NGO di Indonesia.
Kedutaan Indonesia bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja dalam menjejaki Yati selepas majikannya berpindah dari kediaman mereka sebelum ini di Bukit Jelutong dan selepas Yati tidak dibenarkan menggunakan telefon.
Dalam temu bual menerusi telefon dengan Malaysiakini dari Bandung di Jawa Barat, Yati berkata, dia meminta untuk pulang ke rumah selepas dua tahun apabila gajinya tidak dibayar.
Yatie mendakwa, dia bekerja dalam tempoh yang panjang untuk pasangan itu dan lima anak mereka di rumah dua tingkat dan lima bilik tidur milik pasangan itu.
Yati berkata, selepas tiga bulan bekerja, bayaran sebanyak RM282 diberikan kepada anak perempuannya di Bandung melalui ejen – tetapi selepas itu, Yati tidak pernah menerima sebarang bayaran lain.
Yati juga memberitahu pasportnya telah ditahan dan dia tidak dibenarkan pulang ke rumah walaupun dia ingin berjumpa dan bercakap dengan lima anaknya sendiri.
Sebelum pulang ke Bandung, Jabatan Tenaga Kerja memaklumkan Yati bahawa majikannya berhutang dengannya sebanyak RM84,000 dalam bentuk gaji yang belum dibayar.
Yati yang dimaklumkan mengenai pembebasan majikannya berkata, mereka sepatutnya dijatuhi hukuman penjara jika tidak menjelaskan gajinya secara penuh.
“Saya berasa sangat sedih, kecewa dan marah.
“Gaji saya tidak boleh dirunding dan saya mahu dibayar jumlah penuh, pun begitu saya dipaksa pulang tanpa gaji,” kata Yati.
Leave a Reply