Bekas imam banyak bercakap mengenai kematian, sebelum ditemukan lemas

SEORANG bekas imam yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan di kawasan kolam udang di Kampung Fikri, semalam ditemukan lemas di Sungai Fikri, Setiu, Terengganu, pada pukul 10.54 pagi tadi.

Mayat Zakaria Mat Nong, 72, dari Kampung Beris Tok Ku di Setiu ditemukan anggota pasukan mencari dan menyelamat di sungai tersebut.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata,mayat mangsa ditemukan sejauh kira-kira 1.7 kilometer (km) dari lokasi dipercayai terjatuh, semalam.

“Mayat mangsa ditemukan tersangkut di rimbunan pokok nipah di tebing sungai tersebut. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Setiu di sini untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian pagi ini.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan, adik mangsa, Che Marlina Abdul Ghani, 48, berkara, arwah abangnya sejak dua hari lalu teringin sangat mahu makan ubi kayu rebus yang ditanam di kawasan rumahnya.

“Arwah sempat makan tengah hari sebelum keluar menjala selepas solat Asar semalam. Empat hari sebelum kejadian abang ada menyembelih kambing peliharaannya dengan mengagihkan daging kepada saudara mara manakala lebihan memintanya membuat sup kambing,” kata Che Marlina.

Che Marlina mengetahui tentang kejadian itu selepas dimaklumkan penduduk kampung yang melihat abangnya tidak timbul selepas turun ke dalam tali air.

“Saya dimaklumkan ada penduduk kampung melihat abang sedang menjala ikan di kawasan itu dan dia dikatakan turun ke air untuk melepaskan jalanya yang tersangkut.

Che Marlina Abdul Ghani

“Bagaimanapun, menyedari abang tidak timbul membuatkan penduduk kampung memaklumkan kejadian ini dan saya bergegas ke tempat kejadian.

“Tiba di tempat kejadian, saya sedih apabila melihat keretanya di tepi tali air, selipar dan jala manakala abang dilaporkan hilang,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Che Marlina yang tinggal di Kampung Saujana di sini berkata, abangnya memang suka menjala ikan, namun tidak menyangka kejadian buruk menimpanya ketika menjala.

Menurutnya, abangnya itu juga pergi menjala kerana ingin mencari ikan haruan untuk diberi kepada anak saudaranya, Ahmad Darwisy Alauddin Mohd Nakhohi, 12, yang baru berkhatan beberapa hari lalu.

“Sebenarnya abang ada maklum mahu mencari ikan haruan kepada anak saya yang dalam pantang berkhatan dan sedih kerana hajatnya itu tidak kesampaian.

“Sebelum ini, abang juga banyak bercakap mengenai kematian yang membayangkan hayatnya sudah tidak lama.

“Saya tidak terfikir kata-katanya sebelum ini menjadi kenyataan dan saya ingatkan hanya gurauan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *